KUCHING – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menerajui inovasi dakwah inklusif negara apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan kursus pengajaran Quran Isyarat, menerusi pelaksanaan Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) di Hotel Grand Margherita, Kuching.

Program anjuran Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM itu berlangsung pada 12 hingga 14 Julai 2026 baru-baru ini di Hotel Grand Margherita, Kuching, dengan penyertaan 27 Pegawai Tadbir Agama Bahagian dan Pegawai Pengislaman, Bahagian Saudara Kita, JAIS dari seluruh Sarawak.

Kursus ini bertujuan membangunkan kompetensi tenaga pengajar dalam kemahiran membaca dan mengajar Quran Isyarat, supaya penyampaian ilmu al-Quran kepada komuniti OKU pendengaran, termasuk mualaf, dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, efektif dan inklusif.

Penganjuran kursus ini turut mencerminkan keyakinan agensi kerajaan terhadap kepakaran UMMI, USIM dalam memperkasa pegawai agama bagi mendepani cabaran dakwah kepada komuniti OKU. Antara pengisian utama kursus termasuk peranan guru sebagai dai, teori asas pengajaran dan pembelajaran Quran bagi OKU, kemahiran membaca Quran menggunakan Kod Tangan Quran (KTQ) secara hands-on serta pelaksanaan penilaian kompetensi peserta.

Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Sahibus Siyadah Tuan Haji Mual bin Haji Suaud. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan kapasiti tenaga pengajar merupakan elemen penting dalam memperluas akses pendidikan Islam kepada komuniti OKU pendengaran di Sarawak. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIM atas kesediaan berkongsi kepakaran dalam bidang Quran Isyarat.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, peserta mengikuti latihan intensif yang dikendalikan oleh pasukan pakar UMMI diketuai Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil, bersama staf serta Felo Budi UMMI yang berpengalaman. Penglibatan pasukan multidisiplin ini mencerminkan kekuatan ekosistem kepakaran USIM dalam mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan latihan profesional.

Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd. Raus berkata, pembangunan Quran Isyarat merupakan agenda strategik USIM bagi memastikan komuniti OKU pendengaran mendapat hak yang sama untuk mempelajari, memahami dan menghayati al-Quran melalui pendekatan yang sesuai dengan keperluan mereka.

Menurut beliau, USIM melalui UMMI bukan sahaja membangunkan kaedah membaca Quran menggunakan KTQ, malah membina ekosistem lengkap meliputi penyelidikan, pembangunan modul, latihan kompetensi, inovasi serta pemindahan ilmu kepada pelbagai agensi di seluruh negara.

Kerjasama strategik antara USIM dan JAIS ini turut memperkukuh usaha memperluas pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Quran Isyarat di Sarawak. Melalui latihan yang diberikan, para peserta diharap dapat menjadi agen penggerak dakwah inklusif dalam menyampaikan pendidikan al-Quran kepada komuniti OKU secara lebih tersusun, berkesan dan berteraskan nilai ihsan.

Oleh: Khairunnisa Ismail