NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bahagian PERMATA dan Kolej PERMATA Insan menganjurkan ASEAN Islamic Science Camp (AISC) 2026 dari 17 hingga 23 Julai 2026 bagi melahirkan saintis muda Muslim yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan. Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek di Dewan Serbaguna Kolej PERMATA Insan.

Program selama tujuh hari yang berlangsung di Kolej PERMATA Insan, USIM itu menghimpunkan seramai 165 murid berusia 13 hingga 16 tahun daripada 22 sekolah dan institusi.

AISC 2026 menjadi inisiatif strategik dalam membentuk komuniti pembelajaran yang disatukan oleh rasa ingin tahu, minat terhadap sains serta kesediaan untuk bekerjasama tanpa mengira perbezaan sekolah dan latar belakang.

Menurut YB Puan Fadhlina Sidek, tema Empowering Young Muslim Scientists for a Sustainable Future menekankan bahawa saintis muda bukan sahaja perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran, malah memahami amanah serta tanggungjawab yang hadir bersama ilmu.

“Kemajuan seharusnya diukur melalui keupayaan memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan manusia, memelihara kelestarian alam sekitar dan membina masyarakat yang lebih adil,” katanya.

Beliau turut berharap para peserta dapat menghayati nilai adab dengan menghormati pandangan orang lain, berkongsi tanggungjawab serta menggunakan ilmu secara beretika demi membawa kebaikan kepada manusia dan alam sekitar.

Sepanjang program, peserta mengikuti 13 modul yang dibahagikan kepada tiga kelompok utama, iaitu INSAN Young Apprentice Development (INSAN YALE), Halal Action for Young Scientist (HALFYST) dan Biologi Marin yang berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan, SDG 14: Hidupan di Bawah Air.

Pengisian tersebut memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang sains, teknologi, inovasi, sains halal, penyelidikan dan kelestarian menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang USIM, Dr. Noorfajri Ismail berkata, AISC 2026 turut memperteguh kerjasama antara KPM dan USIM dalam usaha membangunkan potensi serta memperkukuh kecemerlangan murid pintar berbakat negara.

“AISC membuka ruang yang lebih luas supaya kepakaran dan kemudahan yang terdapat di USIM serta Kolej PERMATA Insan dapat dimanfaatkan oleh murid daripada sekolah lain, sekali gus memastikan manfaat program ini tidak terhad kepada warga Kolej PERMATA Insan sahaja,” katanya.

Penganjuran AISC 2026 mencerminkan komitmen USIM dalam memperkasa generasi saintis muda Muslim yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, malah berpegang teguh kepada nilai adab, etika dan kelestarian.

Melalui pengisian berteraskan integrasi ilmu dan kerjasama, program ini menjadi platform penting dalam melahirkan modal insan berdaya saing yang bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negara dan dunia secara mampan.

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin