NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh peranannya dalam pembangunan komuniti menerusi Program KARISMA Komuniti USIM 2026 dan Majlis Penyerahan Watikah Kampung Angkat MADANI 2026 kepada Kampung Sungai Mahang, Nilai pada semalam 25 Julai 2026.
Program anjuran Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi meliputi pembangunan infrastruktur, pemindahan ilmu serta pengukuhan jaringan sosial antara universiti dengan komuniti setempat.
Majlis penyerahan watikah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani bersama Timbalan Pengarah Akademik, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Mahang, Khairul Azmi Yahaya.
Majlis turut diserikan dengan acara simbolik pelepasan 3,000 ekor anak ikan baung ke Sungai Mahang, sebagai tanda komitmen terhadap pemeliharaan ekosistem sungai dan pembangunan potensi ekopelancongan berasaskan komuniti.
Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin, Program Kampung Angkat MADANI menjadi platform untuk menyalurkan kepakaran pelbagai bidang yang dimiliki USIM kepada masyarakat, selain mengenal pasti potensi tempatan yang boleh dikembangkan.
“Program ini bertujuan mengangkat dan memasarkan potensi yang terdapat dalam komuniti, termasuk perniagaan roti serta ekopelancongan, ke peringkat tempatan dan global,” katanya.
Antara inisiatif utama yang dirancang ialah menaik taraf kemudahan awam seperti surau, selain pelaksanaan aktiviti keceriaan kampung bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada penduduk.
Khairul Azmi berkata, pelaksanaan Program KARISMA Komuniti dan Kampung Angkat MADANI membuka ruang kepada penduduk untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan membina hubungan lebih erat dengan institusi pengajian tinggi.
“Kami berharap Kampung Sungai Mahang dapat menjadi model Kampung Angkat MADANI yang membuktikan bahawa kerjasama antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti mampu menghasilkan impak nyata kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Program itu turut melibatkan penyertaan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Pergigian (FPg) serta pasukan Quran Buddies yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, khidmat nasihat berkaitan pengurusan harta pusaka dan bimbingan al-Quran Braille kepada penduduk.
Melalui inisiatif tersebut, USIM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan Kampung Sungai Mahang sebagai komuniti yang progresif, mampan dan berdaya maju.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin dan Aina Farzana Azrul Anuar






