NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh pembudayaan amalan lestari dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat menerusi penganjuran program Earthwise Collective oleh Kelab UNESCO USIM sempena Festival Kokurikulum FESKOM@USIM 2026 di Dewan Tuanku Canselor, di sini.

Program anjuran kelab mahasiswa di bawah naungan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) itu mengetengahkan konsep reruai kolaborasi antara Kelab UNESCO USIM dan program Global Islamic Student Outreach (GISO) Vietnam sebagai platform interaktif untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Earthwise Collective menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian termasuk pengumpulan bahan kitar semula, kutipan minyak masak terpakai, permainan mini bertemakan alam sekitar serta jualan makanan yang menerapkan elemen keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa.

Pelajar USIM yang menyertai permainan atau membawa bahan kitar semula turut menerima mata Tullabiyah sebagai galakan untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti tersebut.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai bahan seperti botol plastik, bekas makanan, cawan kertas dan bahan buangan lain berjaya dikumpulkan dari beberapa lokasi strategik termasuk sekitar laluan Hero Fun Run 2.0 serta kolej-kolej kediaman USIM.

Bahan yang diterima ditempatkan di pusat pengumpulan sementara sebelum melalui proses pengasingan mengikut kategori untuk dihantar kepada pihak berkaitan bagi tujuan kitar semula.

Program itu turut mendapat sambutan menggalakkan menerusi inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai dengan pemberian ganjaran tunai sebanyak RM3 bagi setiap kilogram.

Dalam tempoh dua jam, sebanyak 435.35 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan daripada warga USIM dan masyarakat sekitar, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.

Menurut pihak penganjur, sambutan yang diterima melebihi jangkaan apabila ramai pengunjung hadir untuk menyertai permainan, menghantar bahan kitar semula serta menyokong usaha kelestarian alam sekitar.

“Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat menerusi pendekatan yang santai, kreatif dan interaktif,” katanya.

Penganjuran Earthwise Collective mencerminkan peranan aktif kelab mahasiswa dalam menyokong agenda kelestarian universiti, selain memberi ruang kepada pelajar mengembangkan kemahiran kepimpinan, pengurusan program, kerja berpasukan dan keusahawanan sosial.

Kelab UNESCO USIM turut merancang untuk meneruskan usaha memperkukuh penglibatan komuniti menerusi beberapa program lain termasuk Songket Sprintoria, yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat, aktiviti fizikal dan kelestarian.

Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi USIM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kesedaran sosial serta bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.

Oleh: Nur Auni Solehah Zaharuddin, Dr. Syamila Mansor