NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan dakwah inklusif menerusi penganjuran Program Jom Dhuha Bersama Anak Istimewa dan Forum Tarbiyatul Aulad: OKU Anugerah atau Musibah? di Perpustakaan USIM pada 18 Julai 2026 baru-baru ini.

Program anjuran Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) itu menghimpunkan 30 anak istimewa daripada pelbagai kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperluas akses kepada pendidikan Islam serta menyediakan ruang pengisian rohani yang bersesuaian untuk komuniti OKU.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Libatsama Masyarakat, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM, Dr. Zatul-‘Iffah Abu Hasan.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja menyediakan ruang pengisian rohani kepada anak-anak istimewa, malah meningkatkan kefahaman ibu bapa, penjaga, pendidik dan masyarakat mengenai pendidikan serta tarbiah anak-anak OKU.

“Selaras dengan falsafah Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, USIM akan terus memperkukuh peranannya dalam menerajui pembangunan masyarakat inklusif melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi sosial, pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat demi manfaat semua lapisan masyarakat,” katanya.

Program Jom Dhuha pada tahun ini turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya dianjurkan di dalam kampus USIM bagi meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai kepentingan menyantuni komuniti OKU.

Inisiatif itu turut mengetengahkan nilai inklusiviti sebagai tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran yang lebih prihatin, mesra OKU dan saling menghargai kepelbagaian.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Profesor Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd. Raus berkata, komuniti OKU mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, khususnya dalam aspek penghayatan agama, sekiranya diberikan akses, bimbingan dan sokongan yang bersesuaian.

Menurutnya, usaha memperluas pendidikan al-Quran dan ibadah kepada komuniti OKU merupakan tanggungjawab bersama yang perlu digerakkan oleh institusi pendidikan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat.

“Program seumpama ini menjadi medan pembelajaran autentik kepada mahasiswa USIM untuk mengaplikasikan ilmu melalui kesukarelawanan, kepimpinan dan khidmat masyarakat.

“Ia sekali gus menyokong hasrat universiti untuk melahirkan graduan holistik yang berteraskan nilai ihsan, empati dan tanggungjawab sosial,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai pengisian kerohanian termasuk solat sunat Dhuha, terapi zikir, terapi ruqyah dan terapi sirah.

Forum Tarbiyatul Aulad turut menghimpunkan ahli akademik, pendidik dan ibu bapa bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam membimbing anak-anak OKU berdasarkan perspektif Islam.

Program itu turut memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, badan bukan kerajaan, mahasiswa dan masyarakat dalam memperkasa pembangunan komuniti OKU secara mampan.

USIM komited untuk meneruskan penganjuran program seumpama itu sebagai platform strategik dalam membudayakan masyarakat yang lebih inklusif, di samping memastikan setiap individu mendapat akses yang saksama kepada pendidikan agama dan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Oleh: Khairunnisa Ismail