NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menjadi medan memperkukuh kefahaman mahasiswa mengenai sejarah pembentukan Malaysia apabila Persatuan Mahasiswa Anak Sarawak USIM menganjurkan Forum Bicara MA63 bertemakan Empowering Sabah & Sarawak Aspirations in Malaysia MADANI yang membincangkan kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Mustapha Sakmud.

Forum yang berlangsung 12 Jun 2026 baru-baru ini disertai seramai 25 mahasiswa itu menjadi platform memperluaskan kefahaman warga kampus terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan, selain menggalakkan perbincangan intelektual berkaitan isu kenegaraan dalam kalangan mahasiswa.

USIM yang menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang termasuk Sabah dan Sarawak dilihat memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang dialog yang membolehkan generasi muda memahami sejarah pembentukan Malaysia secara lebih menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Mustapha Sakmud berkata, mahasiswa perlu memahami MA63 secara tepat agar isu berkaitan Sabah dan Sarawak tidak disempitkan kepada tuntutan semata-mata. Menurut beliau, MA63 merupakan asas penting pembentukan Malaysia yang perlu difahami oleh generasi muda, khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi.

“MA63 bukan semata-mata isu tuntutan Sabah dan Sarawak, tetapi perjanjian penting yang membentuk negara Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Bicara MA63 di Pentas Ruknu, Perpustakaan USIM.
Beliau menjelaskan bahawa pembentukan Malaysia turut memberikan beberapa jaminan khas kepada Sabah dan Sarawak, termasuk dalam aspek imigresen, pentadbiran tanah, kastam serta perkara perundangan tertentu.

Tambah beliau, pelaksanaan MA63 secara berterusan penting bagi memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak terus diperkukuh selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.

Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan merupakan antara pencapaian penting kerajaan dalam mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Malaysia.

Selain itu, beberapa perkara di bawah Jawatankuasa Teknikal MA63 juga telah berjaya diselesaikan melibatkan aspek pentadbiran, perundangan, pendidikan, kesihatan dan pengurusan sumber.

“Mahasiswa mempunyai peranan besar dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, khususnya apabila isu MA63 sering dibincangkan melalui pelbagai platform.”

“Mereka juga perlu menggalakkan perbincangan intelektual supaya masyarakat memahami kepentingan MA63 berdasarkan fakta dan sejarah,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tahun Dua, Mohamad Shafiq Jafree berkata forum tersebut memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Menurutnya, program anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Sarawak USIM itu turut membuka perspektif baharu kepada mahasiswa mengenai kepentingan memahami MA63 sebagai persediaan menjadi pemimpin yang berpengetahuan pada masa hadapan.

Melalui pendekatan ilmu dan dialog yang berterusan, USIM dapat terus memainkan peranan sebagai medan melahirkan warga yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mampu menyumbang kepada pembangunan negara berasaskan fakta, rasional dan kefahaman yang tepat.

Oleh Muhammad Akmal Zuhdi