NILAI – Dekan Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Zoraida Mustafa menerima Education Award sempena Japan Expo Malaysia Award 2026 pada 24 Julai 2026 baru-baru ini sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pendidikan serta usaha memperkukuh hubungan bahasa dan budaya antara Malaysia dengan Jepun.

Pengiktirafan itu disampaikan sempena Japan Expo Malaysia, antara acara berskala besar berteraskan Jepun yang menghimpunkan elemen pendidikan, bahasa, budaya, pelancongan dan jaringan antarabangsa.

Prof. Madya Dr. Zoraida berkata, anugerah tersebut amat bermakna buat dirinya, namun pada masa yang sama hadir bersama tanggungjawab yang besar.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga menerima pengiktirafan ini. Pada masa yang sama, anugerah ini membawa tanggungjawab besar untuk saya terus bekerja lebih keras, melakukan yang terbaik dan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak melalui pendidikan,” katanya.

Menurut beliau, pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk memperluas pelaksanaan program pendidikan, bahasa dan kebudayaan yang dapat menghubungkan masyarakat Malaysia dengan Jepun.

Beliau berkata, USIM mempunyai potensi untuk memainkan peranan lebih besar dalam mempromosikan bahasa dan budaya Jepun melalui pendidikan, khususnya dengan menyediakan ruang pembelajaran, program pertukaran budaya serta interaksi secara langsung antara mahasiswa kedua-dua negara.

“Universiti mempunyai peranan penting dalam membina kefahaman antara budaya. Melalui pendidikan bahasa, program mobiliti serta interaksi dengan penutur dan komuniti dari Jepun, mahasiswa bukan sahaja mempelajari bahasa, malah memahami nilai, pemikiran dan budaya masyarakatnya,” katanya.

Antara program yang sedang dirancang ialah Japanese Culture Day di bawah JLCC dengan sokongan Japan International Cooperation Agency (JICA), yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, USIM juga dijadual menerima sekumpulan pelajar dari Fukuyama City University, Onomichi University dan Fukuyama Trading Global untuk menyertai English Summer Camp di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) menerusi kerjasama JLCC dan PBPI.

“Program ini bakal memberi peluang kepada warga kampus untuk mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat melalui aktiviti pendidikan, bahasa dan perkongsian budaya. Kehadiran pelajar dari Jepun turut membuka ruang kepada pertukaran bahasa, perkongsian budaya serta pembinaan hubungan antara mahasiswa USIM dengan institusi pendidikan antarabangsa,” tambahnya.

Penganjuran Japan Expo mendapat sokongan daripada Kedutaan Jepun di Malaysia, Japan Foundation Kuala Lumpur, Tourism Malaysia, Japan National Tourism Organization serta beberapa rakan strategik lain.

Japan Expo telah dianjurkan selama lima tahun di Bangkok dan tujuh tahun di Malaysia, menjadikan penganjuran kali ini sebagai edisi ke-12. Anugerah berkenaan diperkenalkan bagi menghargai individu dan organisasi yang menyumbang kepada usaha mempromosikan bahasa, budaya serta hubungan dengan Jepun.