NILAI – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan inisiatif MenstruCareForStudent dengan menyediakan produk sanitari wanita secara percuma di 13 lokasi strategik sekitar kampus bagi membantu mahasiswi yang berdepan situasi kecemasan.
Inisiatif di bawah agenda MPP4U itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan pelajar menerusi penyediaan keperluan asas kebersihan diri yang mudah dicapai, sekali gus membolehkan mahasiswi meneruskan sesi pembelajaran dan aktiviti harian dengan lebih selesa.
Sebagai permulaan, stok produk sanitari wanita telah diserahkan di Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar USIM pada 17 Julai 2026 sebelum diagihkan ke lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.
Bekas khas yang mengandungi produk sanitari wanita turut ditempatkan di tandas wanita terpilih di setiap fakulti, selain Pusat Tamhidi, Dewan Tuanku Canselor (DTC) dan Darul Quran, bagi memastikan kemudahan tersebut dapat diakses dengan mudah oleh mahasiswi ketika diperlukan.
Pelaksanaan inisiatif itu melibatkan kerjasama antara MPP USIM dengan wakil badan pelajar di setiap fakulti yang bertanggungjawab membantu menyelaras penempatan serta pemantauan bekalan di lokasi masing-masing.
Menurut Pengarah Program MenstruCareForStudent, Syawal Syuhada, penyediaan kemudahan tersebut merupakan antara komitmen MPP USIM untuk memperkukuh aspek kebajikan pelajar menerusi penyelesaian yang praktikal dan memberi manfaat secara langsung kepada warga kampus.
“Keperluan seperti produk sanitari wanita mungkin dilihat sebagai perkara kecil, namun apabila berdepan situasi kecemasan, kemudahan seperti ini mampu memberi kesan besar terhadap keselesaan dan keyakinan mahasiswi.
“Melalui MenstruCareForStudent, kami berharap mahasiswi yang memerlukan dapat memperoleh bekalan dengan mudah dan meneruskan pembelajaran serta aktiviti di kampus tanpa gangguan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan 13 lokasi dibuat bagi memastikan kemudahan berkenaan mempunyai liputan yang lebih menyeluruh dan mudah dicapai oleh mahasiswi di kawasan tumpuan kampus.
Pada masa yang sama, inisiatif tersebut turut diharap dapat menyemai budaya prihatin dan saling membantu dalam kalangan warga universiti, khususnya berkaitan keperluan kebajikan serta kesejahteraan pelajar.
MPP USIM turut menyeru pengguna agar mengambil bekalan yang disediakan mengikut keperluan dan menggunakannya secara berhemah supaya manfaat inisiatif berkenaan dapat dinikmati secara berterusan oleh lebih ramai mahasiswi.
Pelaksanaan MenstruCareForStudent mencerminkan usaha MPP USIM dalam mewujudkan persekitaran kampus yang lebih inklusif, prihatin dan kondusif, selaras dengan aspirasi memperkasa kesejahteraan pelajar menerusi agenda MPP4U.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini

