NILAI – Kesibukan mengikuti latihan pasukan beruniform serta aktiviti kelab tidak menghalang dua mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada mengekalkan prestasi akademik cemerlang sehingga menerima Anugerah Dekan.
Leftenan Muda (PA) Muhammad Hazim Rosli dan Leftenan Muda (PA) Muhammad Amer Aqasha Mahadzir, masing-masing berusia 21 tahun, merupakan pelajar program Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).
Selain menjalani latihan intensif bersama Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), kedua-duanya turut aktif dalam Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique), sekali gus menuntut mereka mengimbangi komitmen akademik, latihan pasukan beruniform serta penglibatan kokurikulum.
Bagi Hazim, kejayaan ditauliahkan sebagai pegawai Kor SISPA memberi kepuasan tersendiri selepas melalui pelbagai cabaran fizikal dan mental sepanjang tempoh latihan.
“Memang ada ketika saya berasa ‘burnout’ dan terfikir untuk meninggalkan SISPA, tetapi ikatan yang kuat dalam kalangan ahli kompeni serta sokongan antara satu sama lain membuatkan saya terus bertahan sehingga berjaya ditauliahkan sebagai pegawai,” katanya.
Menurutnya, pengurusan masa yang sistematik menjadi antara faktor utama yang membolehkannya mengekalkan prestasi akademik walaupun aktif dalam pelbagai kegiatan.
“Saya cuba menyusun masa sebaik mungkin dan menetapkan keutamaan supaya komitmen terhadap akademik, SISPA dan aktiviti kelab dapat diseimbangkan,” katanya.
Hazim berkata, keputusan menyertai Kor SISPA pada awalnya didorong oleh keinginan untuk mencari pengalaman baharu serta memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti yang dapat membangunkan potensi diri.
“Saya pada mulanya tidak terfikir untuk menyertai badan beruniform, tetapi saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan mendapatkan pengalaman yang tidak pernah saya lalui sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Amer Aqasha menyifatkan kejayaannya ditauliahkan sebagai pegawai sebagai hasil daripada kesungguhan dan ketahanan diri sepanjang menjalani latihan Kor SISPA.
“Banyak cabaran dan jatuh bangun yang perlu dilalui untuk mendapatkan tauliah ini. Alhamdulillah, segala penat lelah akhirnya berbaloi,” katanya.
Menurut beliau, keseimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang mahasiswa menetapkan keutamaan berdasarkan jadual serta tempoh setiap komitmen.
Amer Aqasha memilih Kor SISPA kerana ilmu dan kemahiran yang dipelajari mempunyai aplikasi secara langsung dalam kehidupan, khususnya berkaitan menyelamat, pengurusan kebakaran, rawatan awal pendarahan serta pengurusan pusat pemindahan.
“Saya mahu sekurang-kurangnya ada seorang dalam keluarga yang mempunyai pengetahuan seperti ini. Walaupun sebagai orang awam kita tidak mempunyai kelengkapan seperti anggota pasukan beruniform, ilmu yang dipelajari masih boleh digunakan ketika berhadapan situasi kecemasan,” katanya.
Selepas ditauliahkan, Amer Aqasha berhasrat menjadi pegawai yang mampu membimbing anggota di bawah pimpinannya serta membantu mereka memahami nilai ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui Kor SISPA.
Hazim pula mahu meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam, namun tidak menolak kemungkinan memanfaatkan tauliah yang diperoleh untuk berkhidmat bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada masa hadapan.
Kedua-duanya turut menggalakkan mahasiswa lain untuk memanfaatkan peluang menyertai aktiviti pasukan beruniform dan kokurikulum sebagai platform membina disiplin, kemahiran kepimpinan, keyakinan diri serta semangat berbakti kepada masyarakat.
Kejayaan Hazim dan Amer Aqasha mengekalkan kecemerlangan akademik dalam masa yang sama aktif dalam Kor SISPA dan StraComm Clique mencerminkan keupayaan mahasiswa USIM mengimbangi pencapaian akademik dengan pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah secara holistik.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini



