PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar pencapaian membanggakan apabila Haikal Nazhan Hamdan, Mantan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM (MPPUSIM) sesi 2024/2025, berjaya melangkah ke pentas akhir sekali gus tersenarai sebagai finalis pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 di Hotel Marriott, Putrajaya pada 1 Oktober lalu.
Majlis berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selaku tuan rumah itu diadakan bagi meraikan kecemerlangan bakat serta kepimpinan mahasiswa institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Acara gilang-gemilang berkenaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad.
Sebanyak 13 kategori anugerah dan lapan penerima penghargaan khas telah dipertandingkan serta diraikan sepanjang berlangsungnya majlis pengiktirafan tertinggi kepimpinan mahasiswa tersebut.
Pada majlis yang sama, mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid bin Mohd Zain, telah dinobatkan sebagai penerima gelaran utama Tokoh Siswa Negara 2026.
Meskipun kejuaraan utama tidak berpihak kepada USIM, kejayaan Haikal melepasi saringan ketat sehingga ke peringkat akhir membuktikan kewibawaan bakat kepimpinan penuntut universiti ini di persada kebangsaan.
Perdana Menteri dalam ucapannya menekankan peri pentingnya peranan universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berintegriti tinggi dan tidak terpisah daripada realiti denyut nadi masyarakat.
Beliau turut menitipkan pesanan agar mahasiswa sentiasa mengimbangi pencapaian akademik dengan pengukuhan jati diri dan akhlak mulia.
“Betul, kita nak ‘gapai yang di langit’, tetapi mesti ‘mengakar ke bumi’ dengan iman, dengan akhlak, dengan sahsiah, dengan keperibadian dan jati diri,” tegas Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menambah bahawa Generasi Z perlu meniupkan semangat baharu dan kesedaran tinggi untuk berkhidmat membela nasib rakyat serta membenci kepincangan mahupun kerosakan sistem.
Mengulas mengenai pencapaiannya, Haikal menzahirkan rasa syukur atas peluang dan kepercayaan yang diberikan sehingga berjaya membawa nama USIM ke peringkat tertinggi kebangsaan.
“Alhamdulillah, rezekinya tertulis untuk sampai ke tahap ini sahaja, namun menjadi salah seorang Finalis Tokoh Siswa Negara 2026 merupakan satu pencapaian yang besar buat diri ini dan MPPUSIM,” katanya.
Beliau turut berlapang dada dengan keputusan tersebut dan menganggap amanah yang digalas sebagai satu fasa pembelajaran bermakna untuk masa hadapannya.
“Terima kasih buat ibu dan keluarga tercinta atas sokongan yang tidak pernah lekang selama ini, serta setinggi-tinggi penghargaan buat warga USIM atas peluang dan dorongan yang sentiasa diberikan,” tambahnya lagi.
Kejayaan ini diharap dapat menyuntik inspirasi kepada seluruh mahasiswa USIM untuk terus bergiat aktif dalam kepimpinan berorganisasi demi mengharumkan nama universiti di persada negara.
Oleh : Nur Khadija Sulaiman
Pautan gambar: https://www.facebook.com/share/p/19kkP9sp2H/



