NILAI – Tiga mahasiswa tahun akhir Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpeluang mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin Banten (UIN Banten), Indonesia dengan tajaan penuh pada 20 hingga 26 September lalu.
Program tersebut melibatkan mahasiswa daripada bidang Dakwah dan Pengurusan Islam, Komunikasi serta Kaunseling, sekali gus memberi peluang kepada mereka memperluas pengalaman akademik, mengenali budaya masyarakat setempat dan membina jaringan antarabangsa.
Sepanjang program, mereka mengikuti aktiviti akademik, kebudayaan dan kemasyarakatan termasuk sit-in class, lawatan kampus, khidmat masyarakat di Desa Cisimeut Raya dan Tanah Ulayat Masyarakat Baduy, persembahan kebudayaan serta kunjungan ke pesantren.
Pengalaman tersebut membolehkan mahasiswa mengaplikasikan ilmu dalam konteks masyarakat sebenar, selain meningkatkan kemahiran komunikasi, kebolehsuaian budaya, kerja berpasukan dan keyakinan berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa.
Dekan Fakultas Dakwah UIN Banten, Prof. Dr. H. Endad Musaddad berkata, program pertukaran tersebut turut menjadi platform memperkenalkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran UIN Banten kepada mahasiswa antarabangsa.
“Program ini juga penting dalam memperluas jaringan dan hubungan kerjasama antara UIN Banten dengan universiti luar negara. Melalui interaksi secara langsung, mahasiswa bukan sahaja dapat bertukar pengalaman akademik, malah dapat mengenali budaya dan kehidupan masyarakat di negara lain,” katanya.
Bagi Nur Athirah Ariyana Sufian, program tersebut memberi pengalaman baharu khususnya kerana ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Indonesia.
“Setelah hampir empat tahun belajar di USIM, peluang untuk mengikuti program sebegini telah membuka minda saya tentang cara pembelajaran di tempat lain. Selain itu, mengunjungi pesantren juga merupakan pengalaman baharu kerana banyak perkara yang dapat saya kongsikan kepada adik-adik di sana dan mempraktikkan semula apa yang telah saya pelajari di USIM,” katanya.
Dekan FKP USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, pengalaman antarabangsa seperti itu penting dalam membina keyakinan, kematangan serta jaringan profesional mahasiswa.
“Mahasiswa FKP perlu menghargai dan memanfaatkan peluang seperti ini kerana pengalaman antarabangsa bukan sahaja memberikan pendedahan kepada mereka terhadap sistem pendidikan dan budaya yang berbeza, tetapi turut membantu membina keyakinan, kematangan serta jaringan profesional,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UIN Banten atas peluang dan tajaan yang diberikan, selain berharap kerjasama tersebut dapat membuka lebih banyak ruang mobiliti serta kolaborasi antarabangsa kepada mahasiswa pada masa akan datang.
Tiga mahasiswa yang terpilih ialah Nur Athirah Ariyana Sufian daripada Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Nor Hidayah Sayuti daripada Program Komunikasi dan Nur Fatin Aqilah Mohd Kazri daripada Program Kaunseling.
Program tersebut turut memperkukuh hubungan institusi antara USIM dan UIN Banten serta membuka ruang kepada penerokaan kerjasama lebih luas dalam bidang pendidikan, penyelidikan, penerbitan dan mobiliti mahasiswa.





