NILAI – Tidak menyangka dapat menggenggam dua kelayakan dalam satu majlis, Muhammad Shahid Hafizi bin Salim, 25, mencipta detik istimewa apabila menerima Sarjana Bahasa Arab Terjemahan (Kelas Pertama) dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan Islam pada Sidang Pertama Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kedua-dua kelayakan tersebut diperoleh hasil keputusan beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana dan diploma secara serentak sebagai persediaan untuk merealisasikan impian menjadi seorang pensyarah.

Bagi Shahid Hafizi, pengajian dalam kedua-dua bidang tersebut bukan sekadar untuk menambah kelayakan akademik, malah membantu membina profesionalisme dan keyakinan diri dalam bidang pendidikan serta mendidik pelajar daripada pelbagai peringkat usia.

Namun, mengimbangi tuntutan dua program pengajian dalam tempoh yang sama bukan sesuatu yang mudah apabila pengurusan masa menjadi antara cabaran utama sepanjang pengajiannya.

“Pada awalnya memang agak sukar, tetapi dengan tekad yang kuat serta sokongan rakan-rakan dan pensyarah, saya dapat mengharungi setiap cabaran yang datang, ditambah dengan doa dan sokongan ibu bapa yang sentiasa menggalakkan saya untuk terus belajar,” katanya.

“Yang penting, kita kena sentiasa positif dan bersangka baik kepada Allah SWT kerana setiap yang berlaku adalah atas kehendak-Nya,” tambahnya lagi ketika menitipkan pesanan kepada bakal graduan dan mereka yang ingin melanjutkan pengajian.

Sokongan keluarga turut menjadi antara kekuatan utama Shahid Hafizi apabila bapanya, Salim bin Amir, 60, sentiasa menggalakkannya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Saya dan isteri sentiasa menyokong dan menggalakkan anak-anak kami untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi supaya dapat berbakti kepada agama dan bangsa dengan menggunakan segala ilmu bermanfaat yang dipelajari,” katanya.

Kini, dua kelayakan yang diterimanya menjadi langkah penting dalam persediaan Shahid Hafizi untuk merealisasikan cita-cita bergelar pensyarah serta terus menyumbang ilmu kepada agama dan masyarakat.

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin