NILAI – Tekad untuk mengubah kehidupan keluarga menjadi pendorong utama Megat Anwar Irsyad bin Megat Nazaruddin, 23, sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan Kelas Pertama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum membina kerjaya di Bank Negara Malaysia (BNM).

Graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) itu mencatatkan PNGK 3.89 serta menerima Anugerah Khas Sains Komputer, sekali gus melengkapkan perjalanan akademiknya dengan pencapaian cemerlang.

Berasal daripada keluarga B40, Megat Anwar melihat pendidikan sebagai laluan untuk membina kehidupan yang lebih baik, namun perjalanan mendapatkan pembiayaan pengajian bukan sesuatu yang mudah sebelum beliau berjaya memperoleh biasiswa Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) selepas melalui proses temu duga.

Selain menerima biasiswa, beliau turut berusaha menambah pendapatan dengan bekerja sambilan dan terlibat dalam pelbagai acara pada tahun ketiga dan keempat pengajian, selain menjadi ejen kad akses di Nilai ketika tahun akhir.

Kesungguhan mengimbangi pengajian dan usaha mencari pendapatan itu tidak menjejaskan prestasi akademiknya apabila beliau berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester, walaupun mengakui Matematik antara subjek yang mencabar buat dirinya.

Pada masa sama, Megat Anwar memanfaatkan cuti semester untuk memperkukuh kemahiran dalam pengaturcaraan dan penggodaman beretika secara kendiri, selain mengikuti kursus dalam talian bagi memastikan pengetahuannya terus berkembang seiring dengan tuntutan bidang keselamatan siber.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh lima pensijilan profesional, termasuk CompTIA Cybersecurity Analyst (CySA+) dan Google Associate Cloud Engineer, selain menjuarai pertandingan Capture the Flag (CTF) secara solo ketika tahun pertama selepas mengatasi peserta yang terdiri daripada pelajar tahun ketiga dan keempat.

Pengalaman dalam bidang keselamatan siber turut diperkukuh menerusi latihan industri di Cyber Threat Unit, BNM dari Mac hingga Ogos 2026, apabila beliau terlibat dalam pengujian keselamatan aplikasi dan infrastruktur, automasi peringatan tindakan pembaikan serta penilaian kawalan perlindungan data.

“In the end of the day, it’s about how bad you want it,” katanya ketika menggambarkan kesungguhan yang diperlukan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Laluan akademiknya di USIM bermula melalui Tamhidi Perakaunan dan Muamalat sebelum beliau meneruskan pengajian dalam bidang Sains Komputer, dengan pendekatan integrasi Naqli dan Aqli USIM menjadi antara faktor yang menarik minatnya untuk memilih universiti berkenaan.

Selain kecemerlangan akademik, Megat Anwar turut aktif membina pengalaman kepimpinan dan komunikasi melalui penglibatan dalam program kesedaran keselamatan siber serta pembangunan cabaran CTF untuk dikongsi bersama mahasiswa, sekali gus melengkapkan kemahiran teknikal yang dimilikinya.

Kini berkhidmat di BNM, beliau berhasrat memperkukuh kehidupan sendiri sebelum menyumbang semula kepada USIM dalam tempoh lima tahun akan datang melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan bimbingan kepada mahasiswa baharu.

Kepada mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan, beliau menyarankan agar tidak malu untuk berusaha mendapatkan biasiswa atau pinjaman pendidikan supaya tumpuan terhadap pengajian dapat diberikan dengan lebih baik, selain tidak menjadikan kesukaran kursus atau latar belakang keluarga sebagai alasan untuk berhenti mencari peluang.

Berpegang pada moto “It’s up to you to break the cycle”, Megat Anwar mahu membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penentu masa depan, sebaliknya keazaman untuk mencari jalan, bekerja keras dan merebut peluang mampu menjadi titik perubahan kepada kehidupan diri serta keluarga.

Oleh: Omar Mukhtar Hishamuddin