NILAI, 1 November 2021 – Bagi menggalakkan warganya dalam menghasilkan inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI)  telah menganjurkan pertandingan Innovation Bank Challenge 2021  yang disertai oleh warga USIM yang terdiri daripada staf dan pelajar.

Program anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi yang dirasmikan oleh Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa ( menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi)  USIM telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan sebanyak 40 penyertaan diterima oleh pihak penganjur.

Sebanyak empat kluster dipertandingkan iaitu Sains & Teknologi, Sains Kesihatan & Kesejahteraan, Sains Sosial dan Kewangan Islam serta Pengajaran dan Pembelajaran. Kriteria yang diambil kira bagi penilaian produk inovasi yang dipertandingkan ialah impak produk kepada masyarakat, keaslian inovasi, aplikasi inovasi dalam dunia sebenar dan gaya persembahan oleh peserta.

Peserta yang bertanding dinilai melalui penghasilan video berdurasi tiga hingga lima minit berkaitan produk inovasi yang ingin diketengahkan. Video berkenaan lengkap menerangkan sipnopsis, kelebihan serta fungsi produk inovasi tersebut.

Daripada 40 penyertaan yang dipertandingkan sebanyak 9 produk inovasi berjaya meraih Pingat Emas, 14 produk inovasi mendapat pingat perak serta 8 produk inovasi mendapat pingat gangsa.

Menurut Pengarah PPPI, Prof Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani, pertandingan IBC 2021 ini dilihat sebagai platform untuk mengenalpasti inovasi dan produk yang berpotensi untuk diberi perlindungan undang-undang harta intelek, dipertandingkan ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa dan dikomersialkan.

“Saya berharap pertandingan ini dapat diteruskan di masa akan datang kerana ia dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada semua pihak terutamanya di kalangan penyelidik dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi di USIM” ujar Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim semasa majlis Pengumuman Pemenang Pertandingan IBC 2021 tersebut.

Pihak PPPI juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta IBC 2021.

sumber: PPPI

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan