Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Jualan Rahmah adalah konsep jualan murah yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah inisiatif Payung Rahmah khusus untuk manfaat pengguna daripada golongan B40. Menerusi program ini, pasar raya yang terlibat menawarkan pelbagai barang keperluan dengan harga 30 peratus lebih rendah bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari tambahan lagi menjelang musim perayaan. Sebagai usaha berterusan oleh pihak KPDN, kempen Payung Rahmah merangkumi pelbagai inisiatif seperti Pakej Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah. Sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, pasar raya dan para peniaga mula rancak menjalankan promosi jualan secara besar-besaran melalui kempen Jualan Rahmah Aidilfitri melalui kaedah bersemuka dan platform atas talian. Pelbagai pakej dan harga menarik ditawarkan bukan sahaja menarik  minat golongan B40 tetapi turut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tambahan lagi dalam kesibukan menyediakan persiapan sempena sambutan hari raya.

Tidak dapat dinafikan, penawaran harga barang keperluan sempena hari raya seperti baju raya, kuih muih, kain langsir dan seleksi peralatan rumah mula menarik perhatian pengguna berbelanja sakan hingga sebahagiannya lupa mencongak kemampuan kewangan masing-masing.  Harga yang ditawarkan jauh lebih murah dilihat berbaloi hingga berlaku pembaziran tanpa disedari. Sempena kempen Jualan Rahmah Aidilfitri sebahagian penjual dilihat mengambil kesempatan menawarkan pelbagai promosi harga runtuh untuk mengaburi mata pengguna dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Situasi ini menyebabkan Kempen Jualan Rahmah telah terpesong dari objektif perlaksanaan dan impaknya ditanggung oleh pengguna yang rambang mata akibat leka berbelanja kelengkapan perayaan. Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan setelah hampir sebulan umat Islam melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Secara dasarnya, umat Islam dituntut untuk merayakan sambutan Aidilfitri mengikut sunnah Rasulullah secara sederhana dan elakkan pembaziran. Namun, kadangkala realitinya berbeza memandangkan budaya meraikan Aidilfitri di Malaysia menggambarkan kemeriahan dan keseronokan berhari raya berpanjangan sehingga pelbagai tanda pagar digunakan seperti #rayakansebulan #rayasakan #moodraya #rayakesanasini.

Mengurangkan Beban Berbelanja

Namun, persiapan sambutan Aidilfitri pada tahun ini sedikit mencabar melihat kepada kekangan kewangan semasa tambahan lagi sebahagian ibu bapa telah berbelanja besar untuk persiapan persekolahan anak-anak kerana sesi persekolahan 2023/2024 bermula pada bulan Mac hanya selang sebulan dengan sambutan hari raya. Justeru, ibu bapa perlu mempunyai  perancangan kewangan yang bijak agar tidak terjerat dengan bebanan hutang akibat kealpaan diri sendiri berbelanja. Kempen jualan barangan kelengkapan hari raya mula membanjiri media elektronik, media sosial dan platform e-commerce untuk menarik perhatian pengguna berbelanja. Sebagai pengguna bijak disiplin dalam berbelanja perlu diterapkan agar tidak ‘pokai’ akibat sikap boros. Keterujaan dalam menyediakan persiapan sambutan perayaan boleh membawa padah kepada diri sendiri dan keluarga. Sebahagian pengguna sanggup berhutang dan menggunakan kad kredit untuk memenuhi nafsu semuanya serba baharu. Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI University mendapati 73 peratus daripada belia di dalam negara sudah mempunyai komitmen hutang dan jumlahnya semakin bertambah. Adalah lebih baik pengguna dapat mengawal nafsu dan dapat berbelanja dengan bijak supaya ianya tidak akan menjadi beban samada sebelum sambutan hari raya ataupun selepas hari raya. Terdapat pelbagai cara dan strategi mudah bagaimana menyantuni Jualan Rahmah Aidilfitri agar pengguna dapat berbelanja secara berhemah.

Jadilah Pengguna Yang Bijak

Walaupun sangat teruja menyediakan kelengkapan sambutan pengguna jangan sesekali terlalu ghairah berbelanja sehingga memudaratkan kehidupan kelak menanggung bebanan hutang jangka masa panjang. Hal ini sangat penting kerana dikhuatiri masyarakat terlalu leka, boros dan rambang mata dengan iklan dan kempen Jualan Rahmah Aidilfitri yang diwar-warkan hingga lari dari sasaran utama perlaksanaan inisiatif Payung Rahmah untuk mengurangkan beban kos sara hidup golongan yang kurang berkemampuan. Dalam situasi seperti ini, kita sebagai pengguna perlu bijak membuat pilihan bersandarkan kepada aspek keperluan dan bukannya kehendak yang selalu dipengaruhi nafsu dan emosi yang sukar dikawal. Akibat kenaikan harga barangan yang kelihatan semakin sukar dikawal pengguna perlu berbelanja mengikut senarai barangan keperluan berdasarkan budget yang telah disediakan lebih awal. Misalnya. tiada keperluan untuk menukar segala peralatan rumah seperti langsir, sofa dan kelengkapan rumah yang lain hanya atas faktor menyambut hari raya sebaliknya jika masih elok, wajar terus digunakan semula. Pengguna wajar menentukan had maksimum ataupun jumlah perbelanjaan dan ia perlu berpaksikan kepada jumlah pendapatan isi rumah dan kemampuan masing-masing. Ibarat ‘ukur baju di badan sendiri’. Cuba elakkan perbelanjaan melebihi pendapatan ataupun terpaksa menghabiskan segala simpanan yang ada hingga terpaksa menanggung beban hutang. Jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan jualan promosi, jualan murah atau potongan harga sempena Aidilfitri dan perlu diselidik terlebih dahulu promosi yang ditawarkan benar-benar menguntungkan atau sekadar mengaburi mata pengguna untuk membeli belah. Ketika situasi dan kedudukan ekonomi yang semakin mencabar kini, eloklah pengguna mengawal diri daripada memenuhi nafsu untuk menjadi pengguna bijak.