NILAI – Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menganjurkan program “Melangkah ke Dunia Kewartawanan: Perkongsian Bersama Wartawan Syafil Syazwan Jefri” yang berlangsung di Fakulti Kepimpinan Pengurusan USIM pada 27 Mei 2024 baru-baru ini. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai realiti kerjaya sebagai wartawan, memperkuat kemahiran praktikal dalam bidang kewartawanan digital, serta memupuk hubungan antara akademik dan industri.
Objektif utama program ini adalah untuk memenuhi keperluan sokongan bagi kursus AEN2243 Kewartawanan Digital. Program ini turut dihadiri oleh pensyarah subjek Kewartawanan Digital, Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid, yang berharap para pelajar dapat memahami dunia kewartawanan dengan lebih mendalam serta inisiatif ini dapat menarik minat para pelajar dalam bidang kewartawanan.
Sepanjang sesi perkongsian yang berlangsung selama dua jam ini, wartawan Syafil Syazwan Jefri berkongsi pengalaman laluan kerjayanya dalam industri kewartawanan sebelum menyertai Harian Metro, termasuk pengalamannya bekerja di Majalah Media Hiburan serta Majalah Maskulin.
Sementara itu, Syarif Najmi salah seorang peserta berkata, “Program ini sangat relevan dan berkesan dalam memberi kami banyak maklumat tentang perihal kewartawanan”. Rata-rata pelajar mengakui bahawa program ini memberikan banyak pendedahan dan maklumat berharga mengenai dunia kewartawanan.
Program ini telah disertai oleh seramai 64 orang pelajar yang terdiri daripada mahasiswa tahun dua dan tiga Program Komunikasi Media Baharu. Aktiviti seperti ini diharapkan dapat terus dilaksanakan bagi memperkukuhkan lagi pemahaman pelajar tentang industri kewartawanan dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tersebut.
Sumber:
Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini