Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani Othman Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM
Nur ‘Adlina Aiman Mohd Asri
Nur ‘Adlina Aiman Mohd AsriPelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Bahang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih dirasai terutama kepada calon-calon yang mendapat keputusan cemerlang. Langkah seterusnya untuk memohon melanjutkan pengajian dan mengkaji pusat pengajian tinggi paling sesuai serta biasasiwa yang tersedia pastinya memerlukan momentum yang penuh semangat.

Namun dalam keghairahan itu, kita juga lihat tular di media sosial dan akhbar tempatan berikutan tajuk akhbar yang mencetuskan kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu “Lebih 10,000 calon tidak ambil SPM 2023”.

Perkara ini menarik perhatian ramai pihak yang tampil dengan pandangan masing-masing, umumnya kerana risau kesan fenomena ini terhadap anak anak remaja di Malaysia. Kehadiran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia merupakan titik permulaan penting bagi pelajar di Malaysia, tidak keterlaluan dikatakan sebagai antara titik utama yang menentukan masa hadapan kebanyakan pelajar kita terutama dalam aspek melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Memfokuskan kepada isu pelajar tidak hadir peperiksaan adalah fenomena yang perlu diberi perhatian yang serius. Ketidakhadiran calon-calon ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti masalah keluarga, kesihatan mental, ekonomi, atau kurangnya kesedaran tentang kepentingan SPM.

Pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru, dan pihak berwajib perlu sama-sama bekerja sama untuk mencari penyelesaian yang berkesan. Faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar dalam SPM boleh merangkumi seperti masalah keluarga dan ekonomi, masalah  keluarga yang  berpunca daripada perceraian, kematian, ketidaktentuan ekonomi boleh membuatkan pelajar kehilangan fokus dan motivasi untuk menduduki  peperiksaan SPM . Kehidupan yang sukar seperti itu menjadikan mereka terpaksa bekerja untuk membantu keluarga mereka dan terpaksa mengorbankan  pendidikan formal.

Isu kesihatan mental yang juga sesuai digunakan sebagai alasan untuk ketidakhadiran pelajar. Stres, kebimbangan, dan kemurungan semakin merebak dalam kalangan remaja hari ini. Tekanan akademik serta harapan tinggi dari pihak keluarga juga boleh menjadi punca kepada ketidakhadiran pelajar dalam  SPM. Memang semua ibu bapa mahukan anak yang cemerlang akademik tetapi kuasa memilih bidang yang mereka minati harus diberikan supaya pelajar tidak terjebak dengan rasa dikongkong yang membataskan kreativiti dan perkembangan minat mereka.

Dalam pada itu, ada juga pelajar yang mungkin kurang sedar kepentingan peperiksaan SPM. Mereka ini kurang mendapat motivasi dan dorongan yang cukup untuk menolak pemikiran mereka yang mereka menganggap bahwa peperiksaan ini tidak begitu penting dan tidak menjejaskan masa depan mereka. Dalam hal ini, sokongan daripada pihak sekolah amat penting. Mengadakan program program motivasi dan program kesedaran dilaksanakan untuk mendedahkan pelajar kepada realiti kehidupan sebenar yang menunjukkan bahawa SPM adalah salah satu elemen yang mendukung kompleksiti kehidupan jika dilihat dalam konteks Malaysia.

Tanpa keputusan SPM, peluang untuk memasuki institusi pengajian tinggi bakal terhalang dan memberi impak  untuk peluang kerjaya di masa depan kerana dihadkan oleh ketidakhadiran SPM. Peluang pekerjaan juga semakin tipis berikutan kebanyakan majikan melihat SPM sebagai kelayakan minimum untuk membolehkan seseorang mula bekerja, Misalnya dimanapun dalam negara ini, syarat untuk bekerja yang dicari adalah dengan adanya SPM sebagai ukuran awal bagi majikan untuk menilai potensi pekerja.

Selain itu, bukan sahaja SPM memfokuskan kepada kerjaya dan melanjutkan pelajaran, namun menduduki SPM mengajar pelajar bahawa mereka perlu ada sifat  tanggungjawab, disiplin dan dedikasi yang  penting untuk pembangunan diri. Dengan adanya sifat-sifat ini, ia adalah satu proses bagi pelajar untuk menghadapi kehidupan dewasa di luar sana yang memerlukan pelajar memiliki pembangunan diri dan sahsiah yang unggul dalam diri mereka. Pendidikan yang baik dan cemerlang juga menyumbang kepada pembangunan Masyarakat dan negara dimana dengan keputusan yang cemerlang mahupun sederhana dapat berpotensi menjadi pemipin masa depan yang mampu membawa kearah negara yang lebih maju.

Oleh yang demikian, pelbagai langkah dapat diambil untuk mengatasi isu ketidakhadiran pelajar dalam SPM.  Bantuan kaunseling boleh ditingkatkan kekerapannya bagi membantu pelajar mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pelajar ini. Kerjasama antara ibu bapa dan komuniti amat memberikan impak yang besar kepada pelajar. Bantuan juga termasuklah berbentuk material kerana ada pelajar yang rasa “tertinggal” kerana masalah kewangan lalu mengambil keputusan untuk tidak hadir peperiksaan. Kita tidak mahu pelajar pelajar yang berpotensi menjadi mangsa keadaan. Mereka tidak memilih untuk berada dalam keadaan itu, maka kitalah yang boleh memainkan peranan agar semua anak remaja masa hadapan Malaysia mempunyai peluang untuk meraih kejayaan.