Dalam bidang pelancongan, kekuatan promosi sesuatu destinasi amat penting dalam memastikan destinasi dikenali ramai dan menerima ramai pengunjung. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Tahun Melawat Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tujuannya ialah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama kepada pelancong domestik dan antarabangsa. Program ini biasanya dirancang dan dilaksanakan setiap beberapa tahun untuk menarik perhatian keunikan budaya, warisan alam semula jadi, kegiatan sukan, dan acara-acara seni yang unik di seluruh negara.
Program ini menonjolkan kepelbagaian Malaysia dengan menggariskan destinasi pelancongan utama seperti Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, dan banyak lagi. Setiap destinasi menawarkan tarikan unik termasuk warisan sejarah, keindahan alam semulajadi, aktiviti sukan, dan makanan tempatan. Dalam program ini, pelbagai acara seperti festival seni dan budaya, pameran, pertunjukan muzik, sukan ekstrem, dan perayaan budaya tempatan yang memberi pengunjung pengalaman unik dan menarik. Kementerian turut bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pengusaha pelancongan dan pihak berkuasa tempatan seerta masyarakat setempat untuk memastikan program-program yang dirancang berjaya dijalankan dan mencapai matlamatnya.
Konsep serupa turut diamalkan di negara-negara lain di dunia. Misalnya Thailand dengan program Amazing Thailand Year yang bertujuan untuk menarik lebih banyak pelancong dengan menonjolkan keindahan alam semulajadi, budaya unik, dan hospitaliti Thailand. Begitu juga Jepun dengan program Visit Japan Year yang menampilkan kebudayaan tradisional, teknologi moden, dan keunikan tempat-tempat pelancongan di seluruh negara. Korea pula dengan Visit Korea Year dan negara-negara lain seperti China dengan Your of Tourism in China, Perancis dengan program Year of Gastronomy in France.
Program-program seperti ini membantu meningkatkan profil pelancongan sesebuah negara, meningkatkan ekonomi tempatan melalui perbelanjaan pelancong, dan mempromosikan kebudayaan serta warisan yang unik dari negara tersebut kepada khalayak global serta memperkenalkan sesuatu destinasi pelancongan kurang popular untuk menjadi lebih dikenali.
Kejayaan program seperti “Tahun Melawat Malaysia” atau program serupa di negara lain boleh dinilai dari beberapa aspek yang meliputi peningkatan kedatangan pelancong, impak ekonomi positif, peningkatan kesedaran global terhadap destinasi pelancongan negara tersebut, dan peningkatan pemeliharaan warisan budaya serta alam semula jadi.
Di Thailand misalnya, program Amazing Thailand Year membawa jutaan pelancong setiap tahun ke Bangkok, Chiang Mai, Phuket, dan lain-lain. Begitu juga di Jepun, Korea Selatan dan Perancis.
Dalam konteks Malaysia yang lebih spesifik, 2024 merupakan Tahun Melawat Melaka dilihat boleh membantu memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang perlu dihargai dan diraikan. Melaka sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan warisan tersendiri diharap dapat dibanggakan oleh semua termasuk di peringkat antarabangsa.
Selain terkenal sebagai tapak warisan sejarah UNESCO, Melaka juga terkenal dengan pelbagai kuliner tradisional yang unik kesan campuran budaya Cina dan Melayu. Restoran dan kedai makan di sekitar bandar Melaka menawarkan hidangan yang lezat seperti laksa, ayam pongteh, dan cendol. Selain itu, budaya dan seni di Melaka serta potensinya menawarkan pelancongan ekologi bagi mereka yang mendambakan keindahan alam semulajadi pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk melawat Melaka terutama pada 2024 ini. Jika kita sendiri tidak menyokong inisiatif tempatan, siapa lagi? Sama-samalah kita menyokong industri pelancongan tempatan negara kerana destinati pelancongan tempatan memang tidak pernah mengecewakan.