NILAI, 7 Julai 2018 – Penganjuran ‘USIM Primary Care Course KPKU’ oleh Klinik Pakar Kesihatan USIM pada Sabtu lalu merupakan satu langkah proaktif Klinik Pakar Kesihatan USIM untuk berkongsi ilmu antara Pakar Perubatan USIM dan jemputan peserta dari kalangan doktor-doktor sekitar dari Nilai, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor.

Kursus yang julung kali diadakan secara percuma ini dihadiri seramai 122 peserta bagi menyediakan platform buat Pakar Perubatan Am dan Perubatan Keluarga untuk saling bertukar ilmu tentang perawatan pesakit juga membina hubungan baik antara peserta. Mereka yang hadir bukan sahaja dari agensi kerajaan malah juga dari kalangan perkhidmatan swasta yang memiliki klinik sendiri.

“Perkongsian ilmu ini amat bermanfaat kepada peserta di mana ia mencambah kepada penyelesaian dan peserta berpeluang bertanyakan soalan kepada pakar. Turut dibentangkan beberapa kes yang dibincangkan secara teliti dan ianya memberi manfaat kepada peserta dan penganjur bersama,” ujar Prof. Dr. Muhammad Shamsir Mohd Aris, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Melalui kursus ini juga peserta yang hadir agak teruja akan kewujudan Klinik Pakar Kesihatan USIM yang merupakan sebuah klinik berkonsep waqaf bagi membantu para asnaf dan golongan kurang bernasib baik mendapatkan rawatan kesihatan. Satu keistimewaan dan kelainan yang di unjurkan oleh Klinik Pakar Kesihatan USIM ini adalah caj rawatan pakar tidak lebih 60% daripada yang ditetapkan oleh Malaysian Medical Council (MMC). Selain itu, klinik ini mempunyai Tabung Tabbaru’ yang akan membantu pesakit yang memerlukan ketika kecemasan dengan 10% dari caj rawatan pakar kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik ini akan dimasukkan ke Tabung Tabbaru’,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, peserta yang hadir akan mendapat 6 mata CME (Continous Medical Education) yang dikeluarkan oleh Malaysian Medical Association. Markah ini perlu sebagai salah satu kriteria untuk membolehkan ‘Annual Practice Certificate’ dikeluarkan oleh MMA pada tahun akan datang supaya peserta (doktor) tersebut dapat meneruskan perkhidmatan.

Salah seorang peserta dari Melaka menyatakan penubuhan Klinik Pakar Kesihatan USIM merupakan satu contoh baik tentang bagaimana pengetahuan ekonomi Islam ini turut membantu masyarakat Islam dan bukan Islam dalam aspek kesihatan masyarakat.

“Klinik yang merupakan usaha murni USIM dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ini belum ada yang sama sepertinya dan boleh dicontohi,” katanya mengakhiri perbualan.

Disediakan oleh:
Dr Fathima Begum Syed Mohideen
Penyelaras Program ‘USIM PRIMARY CARE COURSE KPKU’
Merangkap Pakar Perubatan Keluarga
Klinik Pakar Kesihatan USIM