NILAI – Pengalaman menjadi imam solat tarawih ketika bulan ramadan di Jepun merupakan salah satu kenangan manis yang mahal nilainya buat dua rakan karib, Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisyam, 23, dan Nik Ahmad Nik Aziz, 25 yang berjaya mengenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena Majlis Konvokesyen ke-22.

Wan Ahmad Mujahid berkata beliau tidak menyangka rezeki dia dan sahabatnya dipilih oleh pensyarah yang mengajar mereka subjek berkaitan Al-Quran untuk mewakili universiti menjalani latihan industri di Japan Da’wah Centre (JDC) dan Osaka Islamic Centre (OIC) selama sebulan sepuluh hari.

Antara kisah yang menarik perhatian Wan Ahmad Mujahid ketika beliau merasai pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di Jepun ialah sikap berjimat-cermat yang diamalkan dalam kehidupan mereka.

“Antara nilai baik agama Islam telah ajar kita yang saya dapati wujud dalam keluarga mereka adalah sikap tidak membazir sehinggakan sekecil-kecil perkara seperti mainan anak-anak kecil mereka yang menggunakan bateri akan dicabut jika tidak digunakan atau selesai menggunakannya”.

Sementara itu, Nik Ahmad pula turut menceritakan perasaan terujanya untuk menyampaikan mesej dakwah Islam kepada komuniti masyarakat Islam di sana. Beliau berkata masyarakat di sana rata-rata mempunyai pemikiran yang intelektual dan rasa ingin tahu yang kuat terhadap perkara baharu sekali gus memudahkan lagi urusannya untuk berkongsi tentang dakwah.

“Ketika saya agihkan risalah berkaitan Islam, mereka tertarik untuk bertanya lebih lanjut mengenai agama Islam dan apabila saya menerangkan bahawa Islam adalah satu cara hidup mereka baru mengetahui tentang perkara itu”.

“Di sana saya belajar erti menghargai nilai Islam itu sendiri yang merupakan satu anugerah untuk kita dan perlu disampaikan kepada mereka yang tidak mengetahui tentangnya lagi”.

Nik Ahmad yang berasal dari Tumpat, Kelantan ini berkata antara kenangan manis sepanjang berada di sana ketika bulan Ramadan adalah beliau perlu menjadi imam tarawih dengan menghabiskan satu juzuk bacaan Al-Quran untuk satu malam.

“Pada awal malam pertama saya mengimamkan solat tarawih, bacaan hafazan Al-Quran saya berjalan lancar akan tetapi pada malam-malam yang berikutnya semakin mencabar sehinggakan saya perlu mengulangkaji bacaan hafazan dengan lebih mendalam lagi,” ujar beliau.

Ditanya mengenai nilai pegangan hidup yang digenggam erat untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan, Wan Ahmad Mujahid menyatakan bahawa Al-Quran adalah penguat semangat bagi dirinya di dalam setiap keadaan dan waktu.

“Kalau kita sentiasa jaga Al-Quran dengan maksud mengulang bacaannya dan juga sentiasa mencari masa untuk membacanya, Insha-Allah dengan sebab kita menjaga Al-Quran, Allah akan membantu kita dalam urusan kita”.  Ujar beliau yang kini sedang menyambung pengajian Sarjana dalam bidang Quran Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Oleh: Muhamad Faris Mohd Faisal