NILAI, 24 September 2018 – Majlis Pentauliahan Kor Siswa Bomba Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dianjurkan bagi meraikan pelajar USIM yang telah menamatkan tiga semester latihan sebagai Kor Siswa Bomba. Terdapat seramai 35 orang pelajar iaitu 26 perempuan 9 lelaki, kumpulan pertama Kor Siswa Bomba USIM telah berjaya ditauliahkan setelah menjalani 100 jam kredit latihan kebombaan. Kursus badan beruniform ini merupakan pendekatan terbaru Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memperkenalkan fungsi dan tugas-tugas Jabatan secara lebih menyeluruh.
Ia berbeza dengan pelaksanaan ‘Fire Brigade’ atau ‘Fire Cadet’ yang terdapat di Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S). Program ini merupakan program yang pertama diwujudkan di IPT dan pada masa kini hanya USIM dan Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sahaja yang menawarkan kursus Kor Siswa Bomba. JBPM meletakkan matlamat melalui kursus ini para pelatih yang ditauliahkan akan berkhidmat sebagai Pegawai Bomba Bantuan.
Penubuhan Kor Siswa Bomba ini adalah merupakan usaha diantara JBPM dengan Institut Pengajian Tinggi Awam bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin, jati diri yang tinggi dan berpengetahuan dalam bidang kebombaan dan keselamatan kebakaran. Secara tidak langsung ianya akan dapat membentuk pasukan yang berupaya mengendalikan tindakan awal apabila berlakunya sebarang kecemasan di persekitaran kampus dan seterusnya melahirkan komuniti yang mengutamakan budaya keselamatan dalam kehidupan seharian.
Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya berkata, sejajar dengan hasrat USIM untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang, inilah antara usaha yang disediakan oleh universiti supaya setiap graduan mampu menyumbang untuk kegemilangan universiti dan pada masa yang sama bakal menjadi peneraju kepimpinan negara pada masa hadapan,
di samping dapat menyesuaikan diri dengan mudah apabila dilantik menjadi ketua dalam sesuatu pasukan pada masa akan datang.
“Melahirkan ‘penyelamat masyarakat’ yang cekap dan cemerlang bukan sahaja bergantung kepada keupayaan akademik semata-mata, tetapi ia juga saling berkait rapat dengan pelbagai faktor antaranya pembentukan sahsiah diri yang baik, tahap disiplin dan nilai-nilai murni yang tinggi, keterampilan diri yang unggul dan sikap kepimpinan yang terpuji. Inilah di antara ciri yang perlu dan telah disemadikan dalam sanubari Kor Siswa Bomba semua bagi melahirkan seorang graduan yang bukan sahaja berkualiti, bahkan mampu menjadi aset yang berguna kepada agama, bangsa dan negara”, tambah beliau lagi.
Bersempena Majlis Pentauliahan Kor Siswa Bomba USIM ini, ia dimulakan dengan Majlis Pemakaian Tanda Pangkat Kehormat kepada Pengurusan dan Pegawai USIM yang dilantik sebagai Pegawai Kehormat Kor Siswa Bomba USIM dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefehaman (MoU) diantara USIM dan JBPM di Executive Lounge Canselori USIM.
Ia seterusnya disusuli dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kor Siswa Bomba bertempat di Dataran Canselori USIM dan Majlis Terima Sijil Pentauliahan Kor Siswa Bomba di Dewan Kolej PERMATA Insan. Majlis ini disempurnakan oleh YAS Tuan Mohammad Hamdan Hj Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032