Profesor Madya Dr Che Wan Zanariah Che Wan Ngah yang pernah berkhidmat dengan industri pada awal tahun 1990-an sebagai ahli kimia, kini memegang tampuk pimpinan sebagai Pengarah di Institute of Halal Research and Management (IHRAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau yang meminati bidang kimia sejak di bangku sekolah mengambil pendekatan berlapang dada di atas pelantikan sebagai pengarah  bermula Januari 2017 bagi memantapkan peranan IHRAM dalam menyebarkan ilmu kepenggunaan halal bersama 10 orang kakitangan.

S1 Bagaimana Dr melihat pelantikan ini sebagai cabaran bagi golongan wanita mengetuai sebuah institusi penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan aspek halal.

Saya telah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di USIM hampir 10 tahun dan apabila diberi kepercayaan untuk memikul peranan dalam pengurusan dan pentadbiran ini, saya menganggapnya ia sebagai satu cabaran dan amanah yang perlu dilaksanakan terutamanya dalam menyebar luas maklumat berkenaan Pendidikan Halal “Istihlak” (Halal Consumerism Education) dalam kalangan masyarakat.

Saya tiada masalah mengenainya kerana sememangnya amat meminati bidang kajian dan pengurusan halal kerana bagi saya ia merupakan satu amal bagi memanfaatkan ilmu sedia ada. Pada masa yang sama, tanggungjawab ini saya galas sebaiknya bagi memastikan pengguna Islam yakin menggunakan produk piawaian tinggi halal dan toyyiban serta tidak mengambil mudah tentang kesucian makanan dalam pengambilan makanan harian.

S2 Bagaimanakah Dr melihat prospek IHRAM dalam membantu USIM mempertingkatkan ‘niche area’ berkaitan dengan pembangunan dan penyelidikan?

Dengan sokongan dan kerjasama penuh dari segenap peringkat di USIM, IHRAM beriltizam untuk menjadi sebuah pusat rujukan pendidikan kepenggunaan halal yang berupaya menghasilkan penyelidikan berinovatif, perkhidmatan makmal yang mematuhi prosedur operasi standard serta penawaran program latihan komprehensif.

Pada masa yang sama, IHRAM sentiasa mempergiatkan usaha secara bersama ke arah mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam pendidikan kepenggunaan halal untuk menghasilkan nilai tambah kepada negara dan ummah.

S3 Apakah strategi bagi memantapkan peranan IHRAM serta memastikan ilmu kepenggunaan halal ini berterusan pada masa hadapan.Apakah strategi bagi memantapkan peranan IHRAM serta memastikan ilmu kepenggunaan halal ini berterusan pada masa hadapan.

Sejak kecil ibu bapa saya sering mengingatkan mengenai tanggungjawab menjaga solat dan menjaga perut. Dari situ, saya selalu kaitkan nasihat mereka tentang tanggungjawab bersama kakitangan IHRAM yang mana sebenarnya ia boleh ditafsirkan tentang betapa pentingnya untuk memastikan sumber yang masuk dalam perut kita adalah produk terjamin halal dan toyyib.

Oleh itu, menjadi misi penting untuk saya terus membimbing dan bekerjasama dengan kakitangan demi memantapkan peranan IHRAM dalam menyebarkan ilmu kepenggunaan halal tercapai bermula daripada pihak industri sehinggalah kepada pengguna dalam memastikan kesahihan sumber menepati konsep halal dan toyyib.

Dalam pada itu, IHRAM akan menumpukan perhatian dalam usaha untuk :

i. Melatih pelajar dan profesional dengan pendidikan kepenggunaan halal bagi memenuhi keperluan industri
ii. Menyediakan perkhidmatan makmal yang mematuhi piawaian antarabangsa
iii. Menjalankan penyelidikan dan inovasi berkaitan halal dan toyyib
iv. Menjalin perkongsian pintar dengan pemegang taruh dalam bidang penyelidikan, latihan dan pendidikan kepenggunaan halal

S4 Setakat ini bagaimana kerjasama strategik antara universiti dan pihak di dalam dan luar negara dalam mempromosikan aspek halal ini?

Dalam aspek kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri, setakat ini di peringkat kebangsaan IHRAM telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Standards Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Agama Islam Selangor, Konsortium Institut Halal IPTA Malaysia (KIHIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dan Mamee Double Decker Sdn. Bhd.

Manakala di peringkat antarabangsa, IHRAM telah menjalin kerjasama dengan Japan Halal Research Institute for Products and Services (JAHARI), Sejong Cyber University, Korea Media Tourism Research Centre (KMTRC) dan Mindanao State University (MSU)-Maguindanao -Philippines

S5 Apakah cabaran yang perlu ditangani oleh pihak IHRAM dan apakah usaha atau jalan penyelesaian yang diambil untuk mengatasinya?

Cabaran utama adalah dana penyelidikan yang terhad serta kekurangan peralatan penyelidikan. Oleh itu, pendekatan yang diambil adalah melalui permohonan lebih banyak geran penyelidikan.

Apa yang boleh saya katakan, sesuatu penyelidikan halal yang dijalankan perlu meletakkan satu matlamat supaya proses penyampaian ilmu atau informasi berkenaan halal serta isu-isu semasa halal dapat disalurkan kepada masyarakat secara berkesan.