Minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan dan meminati seni kreatif mendorong Hidayatul Izni Hayudin, 28, bergiat aktif dalam dunia perniagaan kek dan bakeri.  Hanya bermula berniaga dari rumah dan secara online, kini beliau memiliki kedai yang lengkap beserta 7 orang pekerja termasuk pelajar praktikal.

“Walaupun sebelum ini saya pernah bekerja sebagai pegawai bank, dan guru ganti di SMK Jengka 10 dan 12 Pahang, namun, merasakan pekerjaan tersebut tiada cabaran dan membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan kerana ia mengajar saya menjadi seorang yang berfikiran kreatif dan bijak menyelesaikan masalah”.

“Semasa di universiti, saya terkenal dgn seorang yang aktif berpersatuan dan dilantik menjadi Exco Kerja Luar dan Pengantarabangsaan Sekretariat Fakulti Sains & Teknologi. Pelbagai aktiviti yang dijalankan di peringkat fakulti yang telah kami uruskan. Saya telah mempelajari banyak soft skill dan leadership semasa di universiti dan ianya sangat membantu saya sebagai seorang ahli perniagaan yang menguruskan syarikat yang mempunyai ramai pekerja dan produksi yang semakin bertambah”, tambah Izni.

Izni dengan nama panggilan mesra, merupakan anak sulung dari lima beradik, mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik Kewangan memberi pandangan bahawa sebagai graduan di era yang penuh mencabar ini, seharusnya graduan di Universiti menanamkan minat untuk menjadi ahli perniagaan selain kerjaya profesional.

Kerjaya usahawan menjadikan seseorang itu berfkiran kreatif dan pandai menyelesaikan masalah. Tambahan pula di universiti kini menjadikan subjek Keusahawanan sebagai subjek wajib, dan pelajar harus memanfaatkan dan mempraktikkannya.

PROFIL

  • Kejayaan terbesar
    Berjaya mengendalikan sebuah program FIMACS II bertemakan “The gist of risk and derivatives, lessons learned and future implications”. Saya ditugaskan sebagai penolong pengarah program dan menjemput pakar-pakar dalam bidang kewangan untuk membincangkan tentang isu yang berkaitan kewangan untuk diaplikasikan dalam pembelajaran.
  • Kenangan Manis
    Kenangan manis saya semasa di zaman universiti adalah terpilih untuk pergi ke Korea Selatan selama seminggu bersama dgn 10 orang yg lain. Kami dipilih secara temuduga oleh pihak universiti. Di sana saya melawat 3 buah universiti iaitu Universiti Souel, Universiti Korea dan Universiti Dongguk.
  • Kenangan pahit:
    Ketika saya berada di tahun 2 pengajian di USIM, ibu saya disahkan menghidap kanser. Pada waktu itu, dunia seolah-olah kosong kerana ibu saya merupakan seorang yang sentiasa mendorong saya dalam hidup. Sewaktu saya di tahun akhir pengajian, selesai menjalani praktikal dan mendapat tawaran bekerja di Scope International, Standard Chartered Bukit Jalil, ibu menghembuskan nafas terakhir iaitu 5 hari selepas saya bergraduasi.