Fasya Mansor, graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Atas prinsip inilah, Alumni USIM ini mengambil keputusan yang berani apabila meneroka bidang perniagaan sebagai kerjaya beliau dengan membuka sebuah Kafeteria.

Kejayaan beliau menapak dalam dunia perniagaan pada hari ini merupakan satu contoh bahawa graduan Universiti perlu berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan selepas menamatkan pengajian mereka kelak. Ilmu keusahawanan semasa di Universiti berjaya diaplikasikan oleh Fasya Mansor dengan menceburi diri dalam bidang perniagaan ini.

Menceritakan pengalamannya dalam bidang perniagaan ini, Fasya Mansor menjelaskan bahawa selepas menamatkan pengajian dari USIM pada tahun 2008, beliau telah bekerja di beberapa buah Firma Kewangan terkemuka bersesuaian dengan bidang pengajian beliau iaitu Program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (ASRM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Namun selepas bekerja makan gaji hampir empat tahun, Fasya Mansor menyedari bahawa kerjaya ini bukan yang sesuai dengan beliau. Minat beliau pada bidang masakan dan menyedari peluang kerjaya yang terhad di Utara Tanahair telah mendorong beliau membuka perniagaan yang dinamakan sebagai Hannahs Cookies di Kangar, Perlis yang merupakan negeri kelahiran beliau.

“Saya berharap graduan Universiti pada hari ini bersikap pro aktif dan tidak terlalu bergantung dengan kerja makan gaji semata-mata. Sebaliknya, sekiranya mereka berminat dengan bidang perniagaan seperti beliau, maka boleh teruskan niat tersebut. Namun begitu, graduan perlulah mempunyai ilmu keusahawan dan juga bimbingan daripada pihak yang sepatutnya,”ujarnya lagi.

Pada peringkat awalnya banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh beliau bagi memajukan perniagaan Hannahs Cookies ini. Antara cabaran yang terpenting ialah bagi mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan tersebut.

Selain itu, masalah untuk mendapatkan bekalan bahan-bahan mentah yang terpaksa diperolehi daripada pembekal di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur sendiri. Cabaran ini beliau berjaya atasi melalui kerjasama dengan pihak pembekal yang menyediakan setipa keperluan beliau tepat pada tempohnya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata ini berharap perniagaan Cookies beliau akan dapat diperluaskan pada masa akan datang.

Pada masa ini selain menjadi pembekal kuih-kuih untuk majlis perayaan, beliau turut membuka sebuah Kafeteria yang menyajikan menu dari Barat pada harga yang berpatutan. Antara menu yang menerima sambutan hangat daripada pelanggan beliau ialah ‘cookies’ untuk sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Creame Brulee, Grilled Chiken, Grilled Salmon, Spaghetti Aglio Olio di samping pelbagai jenis minuman panas dan sejuk.

Pada masa ini, Fasya Mansor mempunyai seramai 12 orang tenaga kerja yang turut membantunya dalam perniagaan Hannahs Cookies ini.

Perniagaan beliau turut dibantu oleh suami beliau secara sepenuh masa. Beliau bercadang untuk menaiktaraf dapur di kafeterianya di samping dapat membesarkan lagi ruang untuk membolehkan lebih ramai penggunjung datang dalam sesuatu masa.

“Graduan boleh gunakan kemahiran dan ilmu yang dipelajari di Universiti seperti dalam kursus Keusahawanan, perakaunan, Pemikiran Strategik, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Penglibatan pelajar dalam aktiviti persatuan juga amat membantu memberikan kemahiran memimpin dan juga menguruskan perniagaan kelak. Justeru, amat penting bagi mahasiswa Universiti agar menjadikan program ko-kurikulum sebagai perkara yang penting dalam kehidupan di kampus”, tambah Fasya.