Penjenamaan baharu Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) kepada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) pada 1 Mei 2017 merupakan satu indikasi bahawa peranan dan halu tuju jabatan ini semakin berkembang. Pendanaan sumber kewangan baharu oleh Universiti melalui wakaf mendapat sokongan dan perhatian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selari dengan hasrat Kementerian oleh melihat Universiti berkreativi dan berinovasi dalam mencari sumber peruntukan kewangan sendiri.
Sumber pendanaan baharu melalui pendekatan wakaf dan zakat ini menyediakan saluran sumbangan yang tidak menyimpang dari tuntutan Islam malah jika dilihat lebih jauh, ia membentuk sifat-sifat kerohanian dan keagamaan yang lebih mendalam khususnya kepada para penyumbang. Ikuti temubual bersama Pengarah PWZ, Prof. Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan Ismail tentang perkembangan terkini PWZ.
S1 Apakah pandangan PWZ tentang potensi wakaf dalam pembangunan institusi pengajian tinggi amnya dan USIM sendiri?
“Peranan wakaf dalam pembangunan institusi pengajian tinggi amnya dan universiti sendiri, adalah sangat besar. Pandangan saya, potensi wakaf ini khususnya kepada universiti sendiri sangat baik. Apabila kita uar-uarkan wakaf ini dengan pelbagai cara, kita dapat lihat banyak pihak tampil menunjukkan minat untuk menyalurkan dana mereka untuk pembangunan wakaf. Oleh kerana itu, saya yakin Insha-Allah peluang untuk wakaf berkembang pada masa hadapan sangat terbuka”.
“Apa yang saya boleh katakan potensi untuk wakaf di dalam USIM sangat terbuka kerana kami menerima sokongan penuh dari pihak atasan USIM dan Lembaga Pengarah Universiti sendiri. Peranan wakaf dalam pembangunan institusi ini merujuk kepada peranan PWZ untuk menggerakan aganda wakaf dalam universiti ini secara lebih agresif dan berterusan dan tidak bermusim. Saya juga akan mengingatkan kepada staf dalaman tentang bagaimana kita menggerakkan modus operandi wakaf ini supaya tersebar luas di dalam dan luar universiti”.
“Dari apa yang saya lihat, setiap hebahan atau mesej yang dihantar mesej melalui whatsapp mendapat feedback yang sangat cepat. Untuk makluman, ketika perasmian semasa Perhimpunan Kakitangan bersama Naib Canselor, PWZ berjaya mendapat kutipan sebanyak RM 9,000. Saya berpendapat, di USIM banyak pihak yang berminat untuk menyumbang tetapi tidak tahu saluran yang betul. Alhamdullilah setakat ini terdapat beberapa orang yang memotong gaji mereka dalam jumlah yang agak tinggi untuk menyumbang dalam pembangunan wakaf ini”.
S2 Apakah agenda atau kempen wakaf yang ingin PWZ cuba tonjolkan?
“Dari segi ini, fokus kita sekarang adalah menjayakan kempen Jom Berwakaf. Wakaf yang ingin kita terokai adalah dalam bentuk perniagaan. Maksud perniagaan di sini bukan dari sudut jual beli tetapi apa yang penting bagi sebuah perniagaan adalah pemasaran dan keuntungan berganda yang boleh dimanfaatkan dalam konteks yang lebih luas. Ia menzahirkan aspek Naqli dan Aqli sebenarnya walaupun lari dalam kefahaman masyarakat kini bahawa wakaf ini cuma untuk pembinaan masjid dan tanah kubur. Sedangkan wakaf ini lebih besar dari itu menurut pandangan agama, dan inilah yang ingin tampakkan kepada masyarakat. Selepas ini kita akan pergi lebih jauh lagi dengan pembinaan kompleks komuniti yang turut mempunyai semi hotel bernilai RM 15 juta”.
“Kita juga akan menarik golongan bukan Islam untuk menyumbang kepada wakaf dengan menggunakan istilah berkat. Berkat diberikan Tuhan bukan kepada orang Islam sahaja, jadi wakaf ini membawa kepada berkat. Kita akan menggunakan pendekatan jika menyumbang melalui wakaf, Tuhan akan memberi lebih ganjaran kepada kita selepas itu. Kefahaman ini yang ingin kita ambil untuk meyakinkan golongan bukan Islam untuk turut menyumbang kepada pembangunan agenda wakaf. Jom Berwakaf Membawa Berkat adalah tema yang akan kita gunakan untuk meyakinkan golongan ini”.
S3 Apakah pendekatan yang diambil bagi menjayakan agenda berwakaf di USIM?
“Pendekatan untuk menggerakkan agenda wakaf ini di dalam universiti saya pecahkan kepada tiga cara. Pertama kita akan gerakkan dari segi pelajar. PWZ akan adakan mesyuarat bersama pelajar untuk melibatkan mereka sebagai agen wakaf kepada universiti. Sebagai contoh, PWZ akan mengadakan kempen Jom Berwakaf sebanyak RM1 atau RM2 dan bagi dana yang diperolehi kami akan membuat kempen kerusi wakaf di mana kerusi tersebut akan ditulis ia adalah sumbangan wakaf dari pelajar. Ini akan menggalakkan lagi mereka untuk menyumbang kepada wakaf ini sendiri”.
“Kedua, PWZ akan gerakkan melalui para alumni dengan berkolaborasi bersama Pengarah Pusat Perhubungan Alumni dan Kerjaya secara dekat. Dari jumlah anggaran seramai 14,000 alumni USIM sedia ada, PWZ akan mengenalpasti alumni USIM yang masih aktif untuk turut menjadi sebahagian penyumbang wakaf”.
“Ketiga, kempen amalan berwakaf digerakkan di kalangan kakitangan USIM melalui kempen pelekat kereta dan PWZ amat menggalakkan semua staf mempunyai pelekat ini supaya setiap staf akan dapat menggerakkan agenda wakaf tersebut”.
“Bagi dalam negara pula, kami telah pergi ke bank-bank dan syarikat-syarikat kerana di USIM sendiri terdapat banyak Syariah Advisor dan kita akan gunakan mereka untuk menjalankan agenda wakaf ini bersama. Untuk luar negara telah dibuat di mana Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Almuni) telah pergi ke Arab Saudi dan UAE untuk berjumpa pihak berpengaruh di sana seperti tokoh ulamak, Dr Yusuf al-Qaradawi untuk mendapatkan saluran-saluran permohonan sumbangan wakaf”.
S4 Bagaimana konsep kampus barakah dikaitkan dalam menentukan hala tuju pembangunan wakaf di USIM?
“Jika kita lihat pada zaman para sahabat sendiri, wakaf ini sangat luas dan mereka kecilkan kepada pelbagai istilah lain seperti jabatan kewangan. Kini ditonjolkan semula peranan wakaf dalam membangunkan ekonomi negara dan universiti diberi peranan untuk menerokainya kewangan baharu menggunakan dana wakaf. Kefahaman jika ingin berwakaf perlu dalam jumlah yang besar membuatkan orang takut untuk menyumbang, sedangkan hakikatnya tidak sebegitu. Justeru menimbulkan kesedaran dan membetulkan salah faham tentang wakaf ini adalah amat penting”.
“Di antara kunci barakah ialah wakaf. Jadi sekarang ini kita sedang berbincang bagaimana untuk membuatkan apabila orang memasuki kawasan USIM akan dapat melihat dan merasai konsep berkat itu. Bagaimana untuk kita meyakin kepada masyarakat di luar sana untuk menyumbang kepada wakaf dan merasai sumbangan mereka ini ada kesannya? Justeru kita ambil pendekatan memberi surat penghargaan kepada penyumbang wakaf dan sentiasa menyebarkan informasi manfaat berwakaf melalui hebahan dalaman USIM setiap bulan untuk menggalakan mereka menyumbang dan menghidupkan konsep barakah itu sendiri. Inshaallah, saya juga yakin jumlah kutipan wakaf ini akan meningkat dari semasa ke semasa”.