Kecemerlangan dalam akademik dan nilai kepimpinannya telah menonjol sejak zaman persekolahan lagi. Bekas pelajar Maktab Mahmud Yan, Kedah ini terus mencipta sejarah gemilang dalam hidupnya dan mengharumkan nama institusi di mana beliau berada. Bak kata pepatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” mencerminkan kehebatan Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM ini.

Anak sulung dari tiga beradik dari pasangan Kamaruddin Bin Ahmad dan Mariyatol Akmam Binti Abdul Rani, dilahirkan di Ipoh, Perak pada tanggal 3 November 1991 tetapi membesar  di Sungai Petani, Kedah. Baru-baru ini beliau menjadi graduan sulung USIM  menerima Anugerah Pingat Tunku Abdul Rahman sejak ia diperkenalkan oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) pada 2010.

Anugerah pingat berprestij yang diperbuat dari perak padu 32g ini disampaikan sendiri oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTAR dalam satu majlis khas di Memorial Tunku Rahman Putra, Kuala Lumpur. bersama wang tunai RM 3000.

Iqmal memulakan langkah beliau di USIM dengan menjadi pelajar Tamhidi Perakaunan sebelum meneruskan pengajian Sarjana Muda di Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Dalam Majlis Konvokesyen Ke-12 pada tahun lalu, beliau dianugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja – Pingat Jaya Cemerlang.

Merupakan seorang pelajar yang cemerlang di dalam akademik dan kokurikulum antaranya menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester pengajian, penerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan bagi Kategori Pemimpin Program Pengucapan Awam Terbaik 2013 dan Anugerah Tokoh Perdana Siswa USIM 2013.

Amat aktif dalam bidang pengucapan awam sejak zaman persekolah, bakat ini terus digilap semasa di Universiti apabila menjadi pendebat Bahasa Melayu Universiti dan mewakili USIM ke beberapa pertandingan debat utama. Kebolehannya ini mendapat perhatian Kementerian Pendidikan apabila Iqmal telah dipilih mewakili Malaysia ke World Heritage Youth Forum Qatar 2014.

Antara penglibatan lain beliau adalah menjadi Pengerusi Kelab Debat USIM Sesi 2012/2013, penggerak Program Malam Cinta Rasul Negeri Sembilan 2013 dan mewakili USIM ke Program Jejak Mahasiswa Ke Parlimen 2014

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat di USIM melalui tajaan Skim Felo Siswazah USIM. Masih aktif berbakti kepada Universiti khususnya dalam program pembangunan mahasiswa, Iqmal menyimpan hasrat yang tinggi untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan kembali mencurah bakti dan ilmu di USIM semula sebagai seorang pensyarah kelak.