Ziarahkasih@USIM merupakan program ziarah santai kepada insan-insan yang telah menamatkan perkhidmatan di USIM khususnya pesara. Ia merupakan platform bagi menyantuni dan mengenang jasa kepada mereka sebagai mantan pentadbir USIM yang telah bertungkus lumus memberi khidmat bakti kepada pentadbiran di USIM sehingga mencapai kegemilangan seperti kini.

Melalui program ini, perkongsian pengalaman dan kenangan pahit manis sepanjang berkhidmat di Universiti ibarat satu arkib sejarah yang bernilai untuk dihayati generasi pentadbir kini dan akan datang.

Walaupun telah lama meninggalkan Universiti tetapi USIM tetap diingati dan sentiasa dihati mereka. Sumbang saran, pandangan dan idea yang diutarakan mereka masih relevan untuk diterjemahkan dalam suasana pentadbiran terkini universiti.

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) mengambil inisiatif ini mengadakan Ziarahkasih@USIM dengan kerjasama Badan Kebajikan Kakitangan USIM (BKKKUSIM), Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PEKA), Persatuan Kakitangan Pentadbiran USIM (PRAGMATIS), Kesatuan Kakitangan Sokongan USIM (KUSIMA), Badan Kakitangan Wanita USIM (WARDAH), dan juga Koperasi Kakitangan USIM bagi menjadikan ia satu program santai tetapi berimpak.

Objektif utama program ini juga sebenarnya untuk bertanyakan khabar berita dan perkembangan terkini pesara-pesara Universiti setelah menamatkan perkhidmatan di USIM. Usaha menyantuni pesara-pesara ini juga bertindak sebagai serampang dua mata iaitu hasil dapatan program ini juga dapat membantu mendokumentasikan bahan-bahan untuk Arkib Universiti.

TUAN HJ MOHD ALWI YUSOFF
Mantan Pemangku Dekan Pengasas Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM – Gombak, selangor

Umur :  76
Asal : Kelantan
Tarikh lahir : 31/12/1942
Tempoh berkhidmat di USIM:  (16/8/2000 hingga 31/12/2007)

Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan ketika mula membantu pembangunan awal USIM terutamanya di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS). Terima kasih saya ucapan kepada pihak pengurusan USIM terutama kepada YBhg Tan Sri Profesor Emeritus Dr Abdul Shukor Hj Husin yang memberikan kepercayaan kepada saya menguruskan FPQS sebagai antara fakulti terawal di tubuhkan di Universiti ini. Tidak lupa juga kepada semua kakitangan FPQS yang banyak membantu saya ketika itu. Saya mendoakan semoga USIM akan terus maju jaya dan berada di bawah peliharaan Allah Taala”.

PROF. DATO’ DR. MOHAMAD ALI HASSAN
Mantan Ketua Program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi, USIM – Shah Alam, Selangor

Umur: 70
Asal: Pahang
Tarikh lahir: 10/12/1948
Tempoh berkhidmat di USIM: (26/12/2007 hingga 24/12/2012)

Saya berasa beruntung kerana dapat memberikan khidmat kepada USIM apabila diterima menjadi profesor kontrak di Fakulti Sains Dan Teknologi, khususnya dalam bidang sains aktuari, dan mengucapkan terima kasih atas peluang ini. Melalui program pengkhususan ini, pelajar berlatar belakang pengajian Islam dapat mendalami ilmu dalam pengurusan risiko dan pelaburan. Usaha USIM menawarkan program ini amat tepat bagi meningkatkan bilangan graduan Muslim dalam bidang ini. Alhamdulilah hingga kini, telah ramai graduan USIM dalam bidang Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko yang berkhidmat di pelbagai agensi”. Tahniah USIM!

 


ROHANI ABU
Mantan Bendahari Pertama, USIM- Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Umur : 68
Asal: Pulau Pinang
Tarikh lahir : 21/06/1950
Tempoh berkhidmat di USIM :  (3/1/2000 hingga 25/6/2009)

Berkhidmat sebagai Bendahari USIM amat mencabar terutamanya di awal penubuhan Universiti ini. Semua perkara terpaksa dibuat daripada membuka akaun Universiti, menyediakan bajet pengurusan dan pembangunan dan sebagainya. Alhamdulilah, setelah 18 tahun USIM beroperasi saya berasa amat gembira dengan pencapaian USIM sekarang ini. Saya berharap USIM akan terus cemerlang dan menjadi sebuah Universiti yang menghasilkan graduan profesional berteraskan Pendidikan Islam”.