Boleh saudara perkenalkan diri dan latarbelakang sebelum melanjutkan pelajaran di USIM?

Nama penuh saya Lt M. Muhammad Ajwad Bin Alias. Saya dilahirkan di Kuching, Sarawak dan menetap di Kemaman, Terengganu. Saya merupakan anak ketujuh daripada 10 orang adik beradik. Saya memperoleh pendidikan awal di Sekolah Rendah Seri Geliga, Kemaman kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SMA Al-Falah, Kemaman. Setelah menamatkan pelajaran di peringkat menengah, saya menyambung pelajaran peringkat diploma selama tiga tahun di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi dalam jurusan Diploma Syariah Perundangan Islam. Selepas tamat pengajian di peringkat diploma, saya ditawarkan melanjutkan pelajaran di USIM dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Fiqh Fatwa.

Apa perkembangan terkini saudara?

Selepas pentauliahan, saya kembali fokus kepada sesi baru pengajian di semester tujuh dan inshaAllah bergiat aktif sebagai Pegawai Muda di PALAPES USIM untuk membantu pasukan dalam memimpin pegawai kadet peringkat senior, intermediate dan junior yang belum ditauliahkan lagi.

Kongsikan pengalaman semasa menyertai PALAPES

Saya mula bergiat aktif dalam dunia ketenteraan secara separuh masa sejak memasuki rekrut Rejimen Askar Wataniah 502 Batalion 2 Kem Shah Alam.Di USIM, saya telah memilih dan menyertai pasukan unit beruniform PALAPES kerana pasukan ini memiliki keunikan tersendiri. Setiap semester di ajar perkara berbeza. Pada peringkat junior, saya dan rakan sepasukan diberi pendedahan pelajaran lebih tertumpu kepada perkara-perkara asas ketenteraan seperti Conventional Intergenty War (CIW), Ilmu Medan Perang (IMP), asas kawad dan senjata M-16 serta etika social dan pengetahuan am ketenteraan selama 2 semester.

Kemudian di peringkat intermediate, saya dan rakan diajar dengan lebih mendalam tentang asas peperangan iaitu Conventional War (CW). Pegawai kadet juga diajar mengenai pengendalian senjata yang lain seperti Light Machine Gun (LMG), M2O3 Grenade Launcher, membaca peta, semboyan, ilmu kepimpinan dan undang-undang tentera. Pada peringkat ini, saya diberi kepercayaan oleh pegawai untuk dilantik sebagai pemegang pangkat Pegawai Kadet Sarjan dalam peringkat Intermediate.

Pada tahun ketiga pengajian, saya berada di peringkat senior iaitu tahun akhir dimana latihan tertumpu kepada kemahiran seorang pegawai muda yang mampu memimpin platun. Pegawai kadet senior diajar mengenai Conventional War (CW), tetapi ianya berbeza daripada peringkat kedua. Ini adalah kerana, pada peringkat ini pegawai kadet diajar tentang membuat pangkalan, kubu pertahanan, dan cara-cara pengunduran. Manakala bagi senjata pula, pegawai kadet diajar tentang senjata General Purpose Machine Gun (GPMG), dan mortar. Pada peringkat senior ini saya diberi kepercayaan untuk memegang pangkat sebagai Pegawai Rendah Muda dalam pasukan.

Boleh kongsikan perancangan masa depan saudara?

Selepas tamat pengajian saya berhasrat menjadi seorang pegawai syariah yang Berjaya seterusnya dapat membantu menyara ibu dan keluarga saya setelah ketiadaan ayah saya yang telah meninggal dunia 4 tahun lepas. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu paling penting iaitu ibu saya yang banyak member sokongan dan pendorong dalam kehidupan saya. Pada masa yang sama, jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pegawai terutama Leftenan Rozaimi Kamaruddin selaku Pegawai Penyelaras PALAPES USIM, RSM, dan semua jurulatih yang banyak member tunjuk ajar dan didikan serta memimpin kami selama 3 tahun sehingga sampai kepuncak ini.

Harapan dan saranan saudara kepada golongan belia di luar sana

Nasihat saya supaya lebih ramai lagi anak muda dapat menyertai pasukan beruniform ini kerana ia bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, malah dapat mengenal dunia ketenteraan serta dapat menyemai sifat patriotic sayangkan Negara dan bersedia berkorban untuk Negara dalam kesiapsiagaan menghadapi musuh Negara walaupun hanya sebagai pasukan simpanan. Hanya di zaman university inilah kita boleh menerokai dan belajar pelbagai jenis ilmu dan pengalaman baru dan amat rugi kepada yang tidak berusaha menggapainya. Only the tough remain!