Pemilik nama Muhammad Hadi, 21 tahun merupakan anak kepada pasangan Encik Darus Dariman dan Puan Halimah Che Pa. Dilahirkan di Hospital Gua Musang, Kelantan pada 22 Julai 1996 merupakan antara pelajar cemerlang dalam akademik yang wajar dijadikan contoh dan aspirasi buat rakan seangkatannya. Anak kedua daripada lima adik-beradik yang kini menetap di Pendang, Kedah adalah pelajar tahun 3 daripada jurusan Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

S1 Apakah rahsia kejayaan saudara Hadi sehingga berjaya ke tahap ini?

Sejak memasuki tadika pada usia lima tahun, saya sentiasa memotivasikan diri bahawa diri ini sama seperti orang lain. Apa orang lain boleh buat, saya juga boleh buat.

Saya sejak kecil hidup dalam zon selesa bersama keluarga, saya pernah memohon untuk menyertai program perkhemahan semata-mata untuk mengetahui sama ada boleh hidup sendirian tanpa bantuan keluarga.

Ketika perkhemahan tersebut, segala-galanya saya lakukan sendiri dengan bantuan kawan. Pada permulaannya perkara yang kecil dan mudah bagi orang lain seperti memakai baju adalah amat sukar bagi saya namun lama-lama perkara itu mudah dilakukan. Alhamdulillah, saya berjaya melalui perkhemahan itu dengan baik.

Ini menguatkan keyakinan diri saya bahawa sudah sampai masa untuknya hidup berdikari dan selepas mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), menjadi titik tolak untuk saya tinggal di asrama apabila memasuki Tingkatan Empat di SMKA Kedah di Alor Setar.

Mula-mula memang susah, akuinya tetapi selepas berulang-ulang dilakukan dia mampu menyesuaikan diri di asrama dan sekolah, sehingga berjaya mendapat keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian memasuki program Tamhidi di USIM.

Dalam kehidupan ini adalah penting bagi mendapat keberkatan, termasuk ketika menuntut ilmu, perlu menjaga adab terhadap ibu bapa. Dari segi perbuatan, kita perlu salam ibu bapa, jika tinggal di asrama perlu sentiasa menghubungi mereka dan adab bukan hanya dari segi ucapan dan perbuatan, anak perlu mendoakan kebaikan terhadap ibu bapa.

S2 Apakah cita-cita saudara Hadi pada masa akan datang?

Sewaktu di zaman persekolahan, saya mengambil aliran Sains Tulen namun setelah mendaftar masuk dalam program Tamhidi, saya memutuskan untuk mengikuti pengajian di Fauklti Syariah dan Undang-Undang kerana menyedari saya akan menghadapi banyak kesukaran bukan sahaja ketika belajar, malah di alam pekerjaan jika kekal dalam bidang Sains.

Saya mahu menjadi pensyarah syariah dan undang-undang kerana berpeluang untuk menyampaikan ilmu kepada orang lain yang mengikuti pengajian selama lima tahun.

 

S3 Bagaimanakah Hadi melihat peranan USIM dalam membantu gologan kelainan upaya?

Di USIM, nasib insan seperti saya tidak dipandang ringan. Pihak universiti mengubah suai sebuah unit rumah di Kolej Kediaman Nilam Court, demi keselesaan mahasiswa OKU.

Antara pengubahsuaian yang dilakukan adalah merendahkan suis elektrik bagi memastikan mahasiswa OKU seperti saya tidak berhadapan masalah untuk menyalakan lampu atau menggunakan peralatan seperti komputer bimbit.

Selain itu, paip air di tandas direndahkan, manakala permukaan lantai di laluan utama separas untuk memudahkan pengguna kerusi roda.

Saya tidak ada masalah tinggal di sini kerana berpengalaman tinggal asrama sejak Tingkatan Empat, dan saya turut berkongsi bersama tiga OKU lain dalam rumah yang mempunyai tiga bilik itu.

Walaupun kolej yang didiaminya agak jauh dari kampus USIM, iaitu kira-kira 8.5 kilometer, dia tidak menghadapi masalah kerana USIM menugaskan seorang kakitangan untuk mengambilnya dengan kereta setiap pagi dan menghantar pulang setiap hari.

Bagaimanapun, jika ada kuliah pada waktu malam,saya tidak pulang pada waktu petang, sebaliknya, menghabiskan masa dengan belajar atau membaca di surau sehingga kelas bermula pada jam 8 malam atau 9 malam.

S4 Apakah pencapaian yang terbaik dicapai oleh saudara?

Pencapaian cemerlang saya dalam akademik ketika PMR 9A menobatkan saya dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan pada tahun 2012 selain turut dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan keputusan 11A dalam kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Kejayaan menjejakkan kaki ke universiti menyebabkan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menjadikan saya sebagai ikon dan sering dijemput menyampaikan ceramah motivasi.

Saya suka bersemuka dengan pelajar dan berkongsi suka duka untuk berjaya. Jika saya sebagai OKU boleh berjaya, pelajar lain yang normal juga boleh berjaya. Setakat ini saya telah menyampaikan sebanyak 20 ceramah motivasi.

S5 Apakah harapan atau nasihat anda khusus buat pelajar USIM?

Nasihat saya kepada pelajar USIM ialah kalau kita ada kekurangan, orang tidak akan nampak kita kekurangan jika kita berjaya. Kejayaan seseorang itu tidak diukur dengan berapa jumlah kekayaan yang kita miliki tetapi berapa ramai orang yang kita telah bantu dan berkembang disebabkan hatinya tergerak untuk berubah. Semua orang mengimpikan kejayaan tetapi begitu sedikit individu yang berusaha kearah itu. Setiap daripada kita ada peranan dalam menjadi agen pengubah masyarakat. Jesteru perkemaskan tekad dalam setiap perkara yang kita lakukan dan terus melangkah ke hadapan. Ingatlah setiap impian kita akan diperkecilkan orang tetapi usah risau dengan kata-kata tersebut kerana ia pembakar semangat untuk kita terus berjaya. Perjalanan saya di USIM masih panjang. Tempoh pengajian selama lima tahun baru bermula, tetapi saya hendak membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika hendak seribu daya, jika tak hendak, seribu dalih.

Akhir sekali, “Hidup biar berjasa, biar jasa jadi kenangan”.