Siapa sangka, pelajar kedoktoran turut mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran yang kebiasannya didominasi oleh pelajar aliran agama. Itulah yang berjaya dibuktikan oleh pelajar tahun lima Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Norzuhairah Rusmani berjaya membuktikan kemampuan dalam menghafaz al-Quran apabila mengungguli Majlis Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 2014. Dengan bacaan yang lancar dan fasih mengikut hukum tajwid serta alunan suara dan persembahan yang kemas, beliau berjaya menambat hati juri dengan merangkul gelaran johan bagi kategori juzuk 1-30 (perempuan).

Sebagai pelajar dibidang perubatan, Norzuhairah boleh diangkat menjadi antara lambang integrasi ilmu Naqli dan Aqli di USIM yang berupaya mengoptimumkan kedua-dua ilmu yang dipelajari malah memanfaatkan silibus dan medium pembelajaran yang disediakan di USIM sebaiknya.  Kursus pembelajaran dalam bidang perubatan yang disediakan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan seperti kelas Usul Fiqh membolehkan beliau dan rakan-rakan memahami ilmu logik/anatomi dan ilmu agama yang saling lengkap-melengkapi. Tambahnya, pembelajaran semasa kuliah  menekankan aspek menjaga adab dan akhlak semasa menguruskan pesakit yang merupakan salah satu elemen penting untuk menampilkan diri sebagai pakar perubatan Islam.

Kecenderungan beliau mendalami ilmu hafazan yang dianggap berbeza dengan bidang perubatan oleh segelintir masyarakat adalah atas keinginannya untuk menjadi lebih terkehadapan. Beliau berpendapat golongan hafiz dan hafizah seperti pelajar tahfiz lebih banyak kelebihan berbandingnya yang tiada kesempatan mendampingi al-Quran sepanjang masa samada semasa kuliah mahupun di rumah.  Atas dasar itu, beliau tekad berazam untuk memanfaatkan masa terluang bagi melorongkan niat murninya dengan membaca al-Quran mengikut keupayaan beliau.  Beliau akui akan kehebatan membaca dan menghafaz al-Quran turut berpandangan adalah jauh lebih penting menterjemahkan kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian sepertimana penggunaan ayat al-Quran sebagai air penawar mengubati penyakit dalam perubatan cara Islam.  Namun, penggunaan ayat al-Quran tidaklah terbatas di situ sahaja. Beliau yang belajar di bidang perubatan mampu melihat adanya hubungkait antara bidang perubatan dan bidang ilmu hafazan.

“Keindahan ayat-ayat al-Quran membuktikan kekuasaan Allah dan apabila dihayati sangat berhubungkait dengan bidang perubatan yang boleh dilihat pada diri kita sendiri antaranya penceritaan proses kejadian manusia (Surah al-Haj ayat 5) dan hikmah di sebalik suruhan menyusukan anak (Surah Luqman ayat 14) sepertimana telah dinyatakan dalam al-Quran 1400 tahun dahulu yang tidak pernah terfikir oleh manusia”.

Beliau beranggapan penyertaannya kali ini penuh cabaran kerana sudah berkeluarga dan statusnya sebagai ibu kepada Sumayyah Syaheedah, 1 tahun walaubagaimanapun mensyukuri kemenangan yang dikecapi.  Kehidupan berkeluarga tidak menjadi penghalang malah lebih mendorong bakal doktor muda ini untuk terus gigih mendalami hafazan kerana beliau percaya usaha yang gigih akan membuahkan kejayaan di akhirnya.

“Menjalani kehidupan berkeluarga, pada masa yang sama masih belajar memerlukan saya untuk bijak membahagikan masa.  Saya berpendapat kesuntukan masa mengajar saya untuk lebih menghargai masa dan sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa kualiti masa lebih penting dari kuantiti masa itu sendiri.  Walaupun melayan kerenah anak, saya wajibkan diri untuk membaca sekurang-kurangnya 1 juzuk sehari dan tidak menjadikan kesibukan belajar sebagai alasan, itu pegangan saya,” ujarnya yang kerap menyertai pertandingan hafazan untuk menguatkan daya hafazannya.

Beliau tidak menafikan faktor utama kejayaannya adalah ibu bapanya iaitu Hj Rusmani Abdul Rahman dan Hjh Safiyah Md. Arshad yang memberi galakan sehingga beliau semakin berminat mendalami ilmu hafalan ini.  Detik awal penglibatannya bermula dari umur beliau 13 tahun ketika dihantar ke Tahfiz al-Quran Darul Tuba, Tangkak, Johor yang mana ia adalah pengajian tahfiz sepenuh mana tanpa pembelajaran akademik.  Di sana beliau mengambil masa 1 tahun setengah untuk khatam dan setengah tahun lagi mengulang semula.  Pada usianya 15 tahun, beliau dihantar ke Institut al-Quran Kuala Lumpur (IQKL) untuk mempelajari akademik dan mengambil Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) kemudian diterima ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Lumpur untuk meneruskan pendidikan di Tingkatan 4 dan 5.  Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyertai Persijilan DQ-UIA selama setahun setengah untuk mengulang semula al-Quran seterusnya memilih USIM untuk meneruskan pengajian di bidang perubatan yang merupakan minatnya.

Untuk memantapkan ilmu hafazan, beliau juga turut mengikuti kelas hafazan yang disediakan oleh Fakulti Perubatan USIM terbuka kepada semua pelajar yang diadakan pada setiap minggu.  Menuntut ilmu bersama rakan-rakan kuliah disamping bimbingan guru-guru serta pensyarah membangkitkan keazaman yang tinggi kepadanya untuk tetap istiqamah menjaga hafalannya kerana baginya kelas yang dihadiri ini sangat membantu beserta berkat tunjuk ajar tenaga pengajar di sana.

Norzuhairah menjadi contoh terbaik dan lambang integrasi ilmu Naqli dan Aqli USIM kerana berjaya menggalas tanggungjawab yang diamanahkan sebagai satu ibadah dan jihad dalam menuntut ilmu. Diharapkan semoga akan lahir mukmin profesional yang akan memberikan sumbangan besar dalam bidang diceburi, sebagaimana para cendekiawan silam Islam.