Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanPenolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Baru-baru ini penulis dihantar oleh universiti ke Krabi, Thailand untuk membuat liputan program penyerahan dua buah projek infrastruktur kekal yang disumbang oleh mahasiswa USIM kepada komuniti Islam di sana. Projeknya bukan berskala besar seperti mendirikan sebuah bangunan lengkap atau menyiapkan sebatang jalan berturap, tetapi projek tandas tiga pintu lengkap kemudahan wuduk untuk sebuah masjid dan sebuah kolah wuduk bagi kegunaan sebuah madrasah.

“Terima kasih sangat-sangat atas sumbangan ini, inilah sumbangan pertama dari siswa universiti Malaysia diterima penduduk kampung. Walaupun dilihat seperti kecil, tetapi bagi kami amat besar. Usah dinilai pada saiz dan kos membinanya, lihatlah pada silaturrahim dan kasih-sayang siswa ini pada kami” ujar salah seorang penduduk kampung pada penulis.

Bila diselidiki lebih lanjut, terbit rasa kagum dan terharu mengapa penduduk kampung amat menyayangi kumpulan siswa ini. Projek ini menelan belanja hampir RM50,000 dan dananya diusahakan sendiri siswa ini dengan pelbagai cara walaupun berperang dengan kalut kuliah dan bebanan tugasan akademik. Sudah punya belanja mencukupi, mereka sedikit demi sedikit dengan kudrat sendiri membina dan menyiapkan projek ini dalam tempoh dua tahun.

Bagi penulis, inilah salah satu contoh elemen ‘Universiti untuk masyarakat’ yang dihasratkan oleh YB Dr Maszlee Malek, Menteri Pendidikan untuk universiti tekuni dan seterusnya ditiupkan dalam setiap jiwa warga kampus. Kesukarelawan merupakan jarum halus untuk mendidik golongan muda iaitu siswa pada rasa belas kasihan, prihatin, peduli dan ringan tulang membantu.

Sebagaimana kita sedia maklum, keberadaan siswa di universiti bukan atas tujuan menuntut ilmu semata-mata. Melalui aktiviti bersifat sukarelawan, mahasiswa yang selama ini hanya mengetahui keadaan yang berlaku di dalam kampus dan dewan kuliah kini di bawa keluar untuk melihat dan memahami isu, cabaran serta masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat. Kita tidak mahu mahasiswa yang lahir dari institusi pendidikan tinggi hanya mementingkan prestasi akademik sahaja tanpa mempedulikan keperluan masyarakat.

Melalui program kesukarelawanan, ia mampu untuk melahirkan keperibadian yang kuat dan mengupaya potensi mahasiswa secara menyeluruh selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan modal insan uang seimbang bukan sahaja dari aspek intelektual malahan dari segi rohani, jasmani dan emosi serta dapat menyumbang kepada masyarakat, agama dan bangsa.

Dengan adanya program sukarelawan yang tersusun seperti yang dilakukan oleh universiti seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan fakulti, ia tidak menjadi program bermusim dan one-off semata. Di universiti penulis sendiri, antara program kesukarelawan yang berstruktur dan tersusun adalah Gap Year atau tahun berjeda bersama Islamic Relief Malaysia (IRM);  Global Islamic Student Outreach (GISO); dan Jelajah Kesukarelawanan USIM. Semua program ini membuka peluang yang besar kepada mahasiswa USIM untuk menjiwai elemen kesukarelawanan sekaligus memberi manfaat yang melimpah dan melata kepada pelbagai pihak.

Di universiti lain juga pastinya mempunyai seperti ini yang diterajui oleh fakulti mahupun jabatan-jabatan di universiti, tetapi perkara pokoknya ia akan melahirkan golongan siswa yang progresif dan dinamik, mencipta ikon atau menjadi idola kepada siswa lain dan masyarakat, berkebolehan dan berkeupayaan tinggi dalam mengurus kepelbagaian bidang serta berani mengambil risiko.

Masyarakat yang berada diluar kampus melihat keterlibatan yang serius dalam aktiviti kesukarelawanan adalah sebagai satu langkah yang menjadikan siswa kita bersikap marhain dan rendah diri, prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat, berjiwa sukarela dan mampu menabur khidmat bakti menghargai dan membalas jasa masyarakat. Memetik kata-kata John F. Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat “Seseorang yang bergelar mahasiswa perlu memberi sumbangan dan berbakti kepada negaranya dan ini perlu dilakukan dengan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan”

Penulis melihat siswa yang turun kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawan secara tidak langsung memainkan peranan sebagai University Ambassador atau Duta Universiti. Ini menjadikan juga mendokong hasrat untuk menjadikan universiti dan masyarakat itu sebagai entititi yang saling memerlukan dan menyokong antara satu sama lain. Atas sebab itu, kita melihat pelbagai pihak sentiasa memberi sokongan penuh khususnya entiti korporat untuk sebarang program yang dapat memperluaskan peranan siswa sebagai agen membantu membangunkan masyarakat setempat.

Tidak dinafikan, perkembangan semasa seringkali menghambat kita dengan pelbagai cabaran. Kehidupun yang semakin kompleks menyelimuti kita untuk lemas dalam cabaran nilai yang jika gagal mengawalnya, akan melahirkan manusia yang berjiwa kosong. Walaupun di satu sudut yang lain, berjaya dalam karier atau berada pada status sosial yang tinggi.

Nilai dan budaya sukarela ini sewajarnya menjadi pegangan dan pakaian masyarakat Malaysia selama-lamanya. Ini juga bermakna, generasi muda khususnya golongan cerdik pandai seperti mahasiswa perlu sentiasa disemai dan diterapkan dengan budaya kesukarelawanan agar nilai murni ini dapat diwarisi dan akhirnya menjadi darah daging dan sebati dalam amalan seharian mereka.