KEMBOJA, 3 DIS 2015 – Dalam meneruskan legasi kecemerlangan mewakili Malaysia di World Heritage Youth Forum Qatar pada tahun 2014, Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin sekali lagi diberi penghormatan oleh Pusat Warisan Dunia di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) untuk tampil sebagai salah seorang dari alumni dari Malaysia yang berperanan selaku fasilitator penggerak bagi menjayakan 1st World Heritage Youth Forum in Asia 2015 yang bertempat di Siem Reap, Kemboja pada 25 November – 3 Disember 2015.

Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, 24, merupakan pelajar Sarjana Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat USIM bersama barisan wakil dari Negara Asia-Pasifik untuk menghadiri Forum belia warisan dunia ini yang julung kalinya diadakan di peringkat Asia. Ia merupakan rentetan dari forum yang telah dilaksanakan di peringkat dunia melihatkan kepada keperluan terutamanya negara-negara Asia-Pasifik dalam mempersiagakan generasi mudanya dalam menyambung usaha-usaha sedia ada dalam mengekalkan tapak warisan dunia di Asia.

Pada forum kali ini, Muhammad Iqmal Hisham bersama Pusat Warisan Dunia telah mengendalikan para peserta dalam mengikuti aktiviti-aktiviti seperti sesi syarahan pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan dunia, perbincangan peranan belia Asia terhadap tapak warisan dunia, malam kebudayaan Asia, sesi simulasi persidangan perwakilan warisan dunia, menyediakan resolusi belia Asia terhadap warisan dunia dan juga lawatan ke Angkor yang merupakan salah satu dari tapak warisan dunia di Asia.

“Antara perkara yang dibincangkan termasuklah cabaran semasa terhadap tapak warisan dunia di Asia seperti bencana alam, peperangan, pencurian khazanah di tapak warisan, pencemaran serta pembangunan pesat menyebabkan kebanyakkan tapak warisan dunia di Asia terdedah kepada penghakisan nilai luar biasa sejagat (Outstanding Universal Value) yang merupakan elemen terpenting dalam mewartakan sesebuah tapak sebagai tapak warisan dunia”.

“Selain itu, terdapat juga perkongsian mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan oleh pihak berkuasa Angkor seperti menangani isu banjir, penanaman semula hutan serta penambahbaikan pengurusan pertambahan pelancong untuk dijadikan sebagai panduan buat tapak warisan dunia yang lain termasuklah di Malaysia”, jelas Iqmal.

Forum ini juga bertujuan untuk menyedarkan generasi belia Asia akan pentingnya penglibatan mereka sebagai bukan sahaja pewaris tapak warisan dunia pada masa akan datang tetapi juga sebagai salah satu pihak penggerak dalam misi memelihara dan memulihara tapak warisan dunia itu sendiri.

“Pada masa kini, terdapat 238 tapak warisan dunia di Asia meliputi 168 tapak warisan dunia bagi kategori budaya, 59 tapak warisan dunia bagi kategori alam semulajadi dan 11 tapak warisan dunia bagi kategori campuran (budaya dan alam semulajadi). Ini meliputi kira-kira 35% dari keseluruhan 1,031 tapak warisan dunia di seluruh dunia”.

“Dari jumlah itu, sebanyak empat tapak warisan dunia adalah daripada Malaysia iaitu, Taman Negara Kinabalu (kategori alam semulajadi), Taman Negara Mulu (kategori alam semulajadi), Pusat Arkeologi Lenggong (kategori budaya) dan juga Melaka dan George Town, Bandaraya Bersejarah Selat Melaka (kategori budaya). Malaysia juga kini dalam proses mewartakan Taman Royal Belum sebagai tapak warisan dunia yang ke-5 di Malaysia”, ujar Iqmal.

Sebanyak 20 negara Asia-Pasifik telah mengambil bahagian dalam forum kali ini iaitu Australia, Bangladesh, China, Filipina, India, Indonesia, Jepun, Kemboja, Korea Selatan, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Nepal, New Zealand, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan juga Vietnam. Mereka adalah terdiri dari pelajar, arkitek, kurator muzium dan ahli arkeologi.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204