PUTRAJAYA – Suatu pengalaman yang amat berharga apabila 29 anak-anak pintar PERMATA Insan berpeluang melawat ke Arab Saudi sekaligus menunaikan ibadah umrah. Sebelum berangkat mereka telah dirai oleh YBhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung PERMATA bertempat di Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis ringkas tersebut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Ismee Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pengarah PERMATA Insan, Prof. Datuk Dr Mizan Abdiliah Ahmad Ibrahim serta pelajar PERMATA Insan yang akan turut serta dalam lawatan tersebut.

“Melalui progam yang pertama kali di bumi Arab, delegasi PERMATA Insan mempunyai keyakinan bahawa untuk menjadi cendekiawan Islam yang unggul, pengalaman berharga perlu dikutip dan dirasai sendiri dengan harapan anak-anak pintar ini lebih jelas dengan apa yang Islam perjuangkan seperti yang tertulis di dalam hadis dan al-Quran. Oleh sebab itu, lawatan ke Arab Saudi diadakan,” ucap YBhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Objektif utama lawatan adalah bertujuan untuk mendedahkan pelajar pintar ini kepada asal usul peradaban Islam yang mana Islam mula-mula bertapak di Tanah Arab.Lawatan ini mendapat sambutan yang amat baik yang mana sokongan penuh diperolehi daripada Tabung Haji serta Kerajaan dan Kedutaan Arab Saudi.

PERMATA Insan merupakan sebuah program yang ditubuh khas di USIM dibawah naungan YAB Perdana Menteri dan isteri dengan tujuan melahirkan bakal ilmuan pemikir Islam yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. Lawatan kali ini amat berharga kerana merealisasikan impian anak-anak ini untuk menjadi tetamu pilihan Allah S.W.T dan RasulNya pada usia yang masih muda.

Menurut pengarah PERMATA Insan, Prof. Datuk Dr Mizan hasrat melawat bumi Arab ini telah dirancang lama dan dinyatakan oleh Penaung PERMATA Insan sendiri.  Tentunya lawatan ini amat bermakna buat pelajar pintar malah ia dianggap satu kejayaan membanggakan kerana belum pernah lagi Kerajaan Arab menerima kunjungan dari kanak-kanak dari negara Asia khususnya. “Ini adalah usaha dan langkah awal PERMATA INSAN garap bagi melahirkan ahli cendekiawan Islam kelak, dimana anak-anak ini dididik dengan ilmu sains dan agama supaya dapat melahirkan insane yang cemerlang dan gemilang duniawi dan ukhrawi”.

12 April 2014

Perjalanan mereka bermula dengan ketibaan di Madinah Al-Munawarah pada 12 April 2014 walaupun terpaksa bermalam sehari sebelum itu kerana ribut pasir melanda kawasan lebuhraya Jeddah-Madinah.Sepanjang perjalanan ke Madinah, anak-anak PERMATA Insan mengisi masa di dalam bas dengan aktiviti berselawat dan menghafaz beberapa surah dalam al-quran.Program di Madinah dimulakan dengan ziarah di Maqam Rasulullah S.A.W, raudhah dan ke perkuburan Baqi.Lawatan ke tempat-tempat ini seperti mengulangkaji sirah Rasulullah S.A.W. yang mereka pelajari selama ini.

Detik bersejarah anak-anak PERMATA Insan melakukan ziarah ke Maqam Rasulullah S.A.W. sejurus tiba di Madinah Al-Munawarah

Pada sebelah malamnya aktiviti dipenuhi dengan mendengar kuliahmaghrib di Masjid Nabawi dan lawatan ke perpustakaan masjid tersebut.Kuliah tafsir al-quran itu disampaikan dalam bahasa Melayu oleh penceramah bertauliah berbangsa Indonesia yang bertugas di Masjid Nabawi.

13 APRIL 2014

Hari berikutnya, pelajar-pelajar di bawa ke Masjid Quba dan Jabal Uhud.Mereka diberi penerangan tentang sejarah Rasulullah S.A.W dengan lebih terperinci dan kaitannya dengan kedua-dua tempat ini.Selama ini mereka hanya mendengar di dalam kelas namun selepas lawatan itu mereka dapat melihat dengan mata sendiri Jabal Uhud dan Masjid Quba.Kemudian pelajar-pelajar PERMATA Insan berpeluang melawat ke Universiti Taibah, Madinah. Di sana mereka diberi penerangan dan melawat ke makmal-makmal fakulti kejuruteraan serta perpustakaan universiti tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai buku dalam bahasa Arab.Lawatan ke makmal-makmal turut disertai seorang profesor dari Universiti Teknologi Malaysia yang dipinjamkan di universiti tersebut.Setelah solat isyak, mereka turut dibawa melawat ke persekitaran Masjid Nabawi.

14 APRIL 2014

Hari yang dinanti-nantikan tiba dengan perjalanan memakai ihram memasuki Mekah dari Madinah untuk menunaikan umrah. Bagi kebanyakkan anak-anak PERMATA Insan yang baharu pertama kali mengerjakan umrah, ia adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan. Aktiviti dalam bas sepanjang perjalanan dipenuhi dengan bertalbiah.Walaupun tiba lewat dan mengantuk, mereka tetap bersemangat untuk melakukan tawaf serta saie.Simulasi tawaf dan saie yang dijalankan di tanah air banyak membantu anak-anak PERMATA Insan selain pembacaan masing-masing mengenai ibadah umrah sebelum ini. Bagi mereka inilah saat-saat mempraktikkan apa yang telah dipelajari di Tanah Air.

Anak-anak PERMATA Insan sedang bersungguh-sungguh melakukan saie umrah

15 April 2014

Pelajar-pelajar PERMATA Insan sekali lagi merasa teruja kerana diberi penghormatan sebagai antara rakyat Malaysia terawal (selain pemimpin tertinggi negara) untuk mengunjungiMenara Abraj Al Bait(menara jam tertinggi di dunia) di Mekah. Selain dapat bergambar kenangan mereka juga melawat ke muzium menara jam serta diberi penerangan oleh jurutera bertugas. Banyak fakta-fakta menarik dimaklumkan yang tidak diketahui umum seperti teknologi khas LED yang diimport khas dari Eropah dan sumbangan kepakaran beberapa orang jurutera awam dari Malaysia.

Pelajar-pelajar sedang menikmati pemandangan kota Mekah dari Menara Jam Abraj Al Bait

Selepas itu mereka ke Secretariat General, Muslim World League untuk mendengar penerangan ringkas mengenai peranan dan fungsi badan dakwah tersebut yang mempunyai cawangan di banyak negara termasuk di Malaysia.Seterusnya lawatan diteruskan ke Exhibition of the Two Holy Mosques Architecture di pinggir bandar Mekah. Di sini pelbagai peralatan lama yang digunakan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram sejak zaman empayar Uthmaniah dipamerkan seperti mimbar, telaga zamzam, pintu kaabah dan lain-lain lagi. Aktiviti penutup pada 15 April 2014 diakhiri dengan lawatan ke Assalamualaika Ayuhannabi, sebuah muzium interaktif mengenai sejarah Rasulullah S.A.W. di pinggir bandar Mekah.Di sini pelajar-pelajar dapat mempelajari sirah Rasulullah S.A.W. secara interaktif dan virtual dengan menggunakan teknologi komputer serta grafik. Turut dipamerkan model 3 dimensi kota Mekah dan Madinah semasa zaman Rasulullah S.A.W. menyebarkan Islam.

Rombongan bergambar kenangan di Jabal Rahmah, Mekah

16 April 2014

Seterusnya, program di Mekah diteruskan dengan ziarah ke Jabal Thur, Jabal Nur, Arafah, Muzdalifah dan Mina.Kunjungan singkat ini umpama perjalanan ringkas menggambarkan ibadah haji yang sebenar.Kesinambungan lawatan ilmiah ke tempat-tempat tersebut diteruskan dengan kunjungan ke Institut Kajian Haji, Universiti Umm Al-Qura, Mekah.Di sini penerangan mengenai statistik jemaah haji, kapasiti muatan serta projek pembangunan kedua-dua masjid di Tanah Suci, teknologi khemah kalis api di Arafah dan lain-lain perkara berkaitan turut diperjelaskan. Aturcara tarikh ini yang menjadi penantian para pelajar ialah kunjungan hormat dan sesi bertalaqi bersama Imam Besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman As Sudais. Sesi ini sekali lagi menjadi sejarah penting buat PERMATA Insan dan negara,kerana bukan mudah untuk bertemu dengan seorang ulama ulung bertaraf dunia.Program pada hari Rabu berakhir dengan lawatan ke Projek Zamzam Raja Abdullah Bin Abdul Aziz, iaitu kilang pembotolan air zamzam di pinggir bandar Mekah.

Sesi bertalaqi bersama Sheikh Abdul Rahman As Sudais Imam Besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi

17 April 2014

Selepas melakukan tawaf wada’ pada pagi khamis, pelajar-pelajar PERMATA Insan memulakan perjalanan ke Jeddah untuk lawatan ke American International School, Jeddah.Sebelum tawaf wada’, memori seluruh ahli rombongan tertumpu balik ke Tanah Air setelah mengerjakan solat hajat khas untuk MH 370 yang mana misteri kehilangannya menjadi perhatian dunia. Di American International School, Jeddah, anak-anak PERMATA Insan berpeluang melihat cara pembelajaran seperti di negara Amerika Syarikat, namun disesuaikan dengan budaya Arab. Di sini pendidikan rendah dan menengah diletakkan di bawah satu bumbung serta keselamatannya dikawal ketat selain menggunakan sukatan pembelajaran moden barat. Seperti mana-mana lawatan rasmi ke luar negara, ia tidak akan menjadi lengkap tanpa kunjungan ke konsulat atau kedutaan negara sendiri. Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sangat bermurah hati menerima rombongan PERMATA Insansebelum mereka di bawa bersiar-siar ke sekitar bandar Jeddah.

Bergambar dengan Konsulat Jeneral Malaysia ke Jeddah, di American International School, Jeddah

18 April 2014

Hari-hari akhir program tertumpu kepada persiapan pulang pelajar-pelajar PERMATA Insan dan solat Jumaat pertama di Masjidil Haram.Setelah solat Jumaat mereka melakukan tawaf wada’ sebelum berlepas pulang ke Jeddah untuk kembali ke Tanah Air.Sesungguhnya lawatan ke Arab Saudi ini bukan sahaja suatu sejarah kepada Program PERMATA keseluruhannya, namun juga kepada sistem pendidikan Islam negara. Disebalik undang-undang ketat imigresen Arab Saudi yang mengkehendaki kanak-kanak di bawah umur harus ditemani muhrim, anak-anak PERMATA Insan dapat bertalaqi denganSheikh Abdul Rahman As Sudais (Imam Besar Masjidil Haram), melawat ke Menara Jam Tertinggi Abraj Al Bait, mengerjakan umrah serta mengunjungi beberapa buah universiti di sana.

Anak-anak PERMATA Insan merasa sedih ketika melakukan tawaf wada

Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi pendedahan kepada anak PERMATA untuk membentuk persepsi dan gambaran yang jelas bagaimana sejarah Islam terbentuk melalui aktiviti lawatan ke tempat-tempat bersejarah serta beberapa universiti tersohor di sana. Anak-anak PERMATA sudah pastinya memperoleh manfaat daripada program ini dan mampu menonjolkan keperibadian unggul selaras dengan visi USIM untuk Integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang mana ilmu bukan sahaja untuk dimanfaatkan malah disebarkan pada saluran yang tepat.

Lawatan ilmiah ini diharap dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar PERMATA Insan untuk menguasai sebaik mungkinbahasa Arab serta menghafaz Al-Quran, selain memahami hadis Rasulullah S.A.W.dengan lebih mendalam.

Disediakan oleh:

Pejabat Permata Insan