KOREA, 18 OGOS 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa agenda ummah dalam pengantarabangsaan Halal dengan memulakan langkah di Korea Selatan melalui penganjuran The 1st International Halal Management Conference (IHMC) 2017 menerusi kerjasama dengan Sejong University, Seoul yang telah bermula pada 17 Ogos. Kerjasama ini telah terjalin sejak tahun 2011 melalui memorandum persefahaman antara Sejong University dan USIM.
Persidangan IHMC 2017 menerima penyertaan daripada Turkey, United Kingdom, Australia, Kuwait, Thailand, Denmark, India, Maldives, Pakistan, Somalia dan Indonesia turut mendapat sokongan dan kerjasama dari The Korea Food Service Association, The Academy of Korea Hospitality & Tourism dan juga The Society of Islamic Culture Studies
Sebanyak 3 ucaptama dan 78 kertas kerja dibentangkan. Pihak Sejong University juga menganjurkan satu sesi diskusi bersama pihak industri bagi membincangkan isu berkaitan industri Halal di Korea. Antara penceramah ucaptama iaitu Prof. Dr. Zainal Abidin Mohamed (Timbalan Dekan Graduate School of Muamalat, FEM, USIM), Jeungseung Lee (Timbalan Presiden Bahagian Pengurusan Kualiti, Daesang Corporation) dan Dr. Baek-Jae Kim (Pengurus Perkhidmatan Sokongan ICN Station, Qatar Airways).
Antara tema utama yang dibincangkan adalah berkaitan pembiayaan Halal, pemasaran Halal, produk dan makanan Halal, pelancongan Halal dan lain-lain lagi. Selain itu, persidangan ini dapat membantu pihak-pihak yang berkepentingan untuk menerokai peluang kerjasama di masa hadapan dalam Industri Halal.
Prof Dr Roshada, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM dalam ucapannya berkata persidangan ini sebagai satu platform kepada para penyelidik, ahli akademik dan industri bagi membentangkan dan membincangkan isu-isu semasa, pembangunan dan hasil kajian berkaitan bidang Halal. Pada masa yang sama, para penyelidik boleh saling bertukar maklumat dan pendapat berhubung penemuan penyelidikan dan input-input semasa yang memberi impak tinggi dalam meningkatkan dasar sedia ada, strategi dan pelan tindakan untuk pembangunan Industri Halal.
“Melalui persidangan sebegini, ianya dapat membantu para akademik untuk berkongsi hasil dapatan dan kajian semasa serta mengenalpasti jurang dapatan untuk ditambah baik bagi penyelidikan di masa hadapan terutamanya dalam perspektif Industri Halal yang semakin berkembang,” tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, USIM telah menjadikan bidang Halal sebagai salah satu bidang penyelidikan utama untuk diterokai. USIM telah menerbitkan banyak kajian penyelidikan dalam bidang Halal, membangunkan produk atau makanan Halal serta mengendalikan kursus-kursus jangka pendek berkaitan Halal kepada pelajar pra siswazah, pasca siswazah dan juga kepada pihak industri.
“Sebanyak dua kategori persidangan iaitu pembentangan akademik dan forum industri. Pembentangan akademik dikendalikan oleh USIM, melibatkan pembentangan kertas penyelidikan akademik dalam bidang Halal yang akan diadakan pada hari pertama dan kedua, manakala, forum industri dikendalikan oleh Sejong University, yang akan membentangkan isu-isu semasa Industri Halal di Korea yang akan diadakan pada 17 Ogos,” ujar Dr Zurina Kefeli@Zulkefli, wakil Pengarah Program.
Persidangan telah dirasmikan oleh Dr. Shin Koo, Presiden Sejong Cyber University, Korea. Turut hadir Prof. Dr. Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM dan Dr. Shin Mee Hye, Presiden The Korean Food Service Association.
Disediakan oleh:
Amira Asyikin Razali
Fakulti Ekonomi dan Muamalat