Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor keempat USIM bermula pada 16 Ogos 2014 sehingga 15 Ogos 2017. Beliau menggantikan Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail yang mengakhiri tugasnya pada 31 Mei lalu apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Anak kelahiran Panchor, Muar Johor ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam jurusan Kimia (UKM, 1985); Master (Instrumention and Analytical Science) (University of Manchester, 1987) dan PhD (Optical Fibre Chemical Sensor) (University of Manchester, 1994).

Kepimpinan beliau di Universiti terserlah dengan pelbagai jawatan pernah disandang beliau sebelum ini antaranya Koordinator Program Matrikulasi UKM (1994-1996), Ketua Program Kimia UKM (2004-2007) dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM (2009-2010) sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM pada 15 Mei 2010.

Q1Tahniah diucapkan kepada Y.Bhg Dato’ kerana dilantik menjadi Naib Canselor USIM yang Ke Empat. Apakah perasaan Y.Bhg Dato’ apabila menerima surat perlantikan ini?

Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kepada Allah Taala kerana memberikan peluang bagi saya memikul tanggungjawab dan amanah yang amat berat ini, Saya juga ingin melahirkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pendidikan kerana memberikan kepercayaan untuk saya menerajui USIM sebagai Naib Canselor yang ke 4. Bagi saya, pelantikan ini merupakan cabaran untuk merealisasikan hasrat dan agenda penubuhan USIM memandangkan Universiti ini telah Berjaya membuktikan kemampuan dalam pelbagai bidang khususnya melahirkan graduan yang kini berkhidmat di berbagai sektor pekerjaan sama ada awam mahu pun swasta.

Q2Sebagai Naib Canselor USIM yang ke Empat, Y.Bhg Dato’ telah melihat pelbagai corak kepimpinan dan pengurusan sebelum ini dalam membangunkan USIM. Bagaimana strategi yang menjadi agenda dan fokus utama Y.Bhg Dato’ pula?

 

Saya merasakan diri saya bertuah kerana bukan semua Naib Canselor berpeluang berganding bahu dengan mantan-mantan Naib Canselor seperti mana yang berlaku di USIM. Naib Canselor pertama USIM kini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), mantan Naib Canselor kedua USIM kini memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) dan mantan Naib Canselor USIM ketiga kini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di mana beliau juga telah dilantik menjadi felo penyelidik di Institut Sains Islam USIM. Situasi ini merupakan peluang bagi saya untuk terus menjalinkan kerjasama secara berterusan bagi mendapatkan nasihat dan pandangan dalam memastikan agenda pembangunan USIM dapat dilaksanakan mengikut landasan yang telah disediakan oleh mantan-mantan Naib Canselor sebelum ini. Maka dengan sebab itulah, dalam menyusun strategi USIM, panduan dan nasihat daripada mantan-mantan Naib Canselor ini amatlah saya hargai.

Pada masa yang sama juga, saya cuba memantapkan lagi peranan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) agar dapat memainkan peranan yang optimum dalam membantu pelaksanaan semua perancangan yang telah dibuat. Semua perancangan dan pelaksanaan ini memerlukan kerjasama semua pihak khususnya kakitangan akademik, pegawai pengurusan dan professional, kakitangan sokongan dan juga para pelajar. Saya melihat warga USIM adalah aset yang berharga kepada Universiti. Justeru, pihak saya cuba melihat semua keperluan warga USIM agar dapat disantuni secara berhemah dan sistematik demi menjadikan USIM sebagai Majikan yang Penyayang.

Q3 Bagaimanakah Y.Bhg Dato’ melihat potensi USIM dalam menawarkan program pengajian akademik yang bermutu kepada pelajar pada masa kini?

 

Fokus USIM adalah untuk menjadi pusat rujukan di peringkat serantau menjelang tahun 2016 dan pusat rujukan di peringkat global menjelang tahun 2025 khususnya dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Maka degan sebab itulah, dari segi fokus pengajian, USIM bertekad menjadi sebuah insitusi ilmu terkehadapan dalam mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli, iaitu ilmu berasaskan Al Quran dan Sunnah serta ilmu kontemporari. Sebagai tambahan, USIM mensasarkan bahawa setiap program di fakulti mempunyai 30% elemen integrasi Naqli dan Aqli. Dengan itu, setiap kursus yang USIM tawarkan mempunyai integrasi Naqli dan Aqli dan di sinilah dilihat keunikan USIM kerana satu-satunya insitusi yang mengangkat integrasi naqli dan aqli dalam kedua-dua aspek kurikulum dan sistem tadbir urus di mana tujuan integrasi ilmu ini adalah melahirkan generasi ummah yang seimbang antara keperluan jasmani dan rohani. USIM berhasrat untuk sentiasa berusaha memperkukuh dan mengangkat reputasinya sebagai pelopor kepada pengajian dan penyelidikan berasaskan sains Islam.

Q4 Pembangunan modal insan amat penting dalam memastikan kelestarian akademik di Universiti ini. Bagaimana USIM menyusun strategi pembangunan modal insan bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran akan terus dipertingkatkan secara konsisten?

 

Pembangunan modal insan mendapat perhatian serius daripada pengurusan USIM. Ini kerana, pihak Universiti menyedari akan hakikat keperluan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan ini sama ada bagi kakitangan akademik, pengurusan dan profesional mahu pun kakitangan sokongan. Pihak pengurusan menyediakan pelunjuran jangka panjang bagi memastikan keperluan modal insan dapat diseimbangkan dengan perkembangan Universiti ini secara optimum. USIM juga mensasarkan agar 20% daripada jumlah pensyarah adalah terdiri daripada kalangan alumni dan pensyarah antarabangsa. Maka dengan sebab itulah, Bahagian Modal Insan (BMI), Jabatan Pendaftar diperkasakan bagi membantu Universiti dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan modal insan secara berterusan dan sistematik.

Pihak saya juga akan merancang untuk memperbanyakkan perlantikan di samping memperkukuhkan peranan Profesor yang ada di USIM ini agar kepakaran yang ada pada mereka dapat dimanfaatkan dalam membantu membentuk kakitangan akademik junior khususnya dalam bidang pembangunan dan penyelidikan, konsultansi, pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya. Perkara ini juga dapat dilihat bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran secara konsisten khususnya di dalam integrasi ilmu Naqli dan ilmu Aqli. Pada masa yang sama, pihak saya juga akan cuba meningkatkan kerjasama industri menerusi hubungan akrab Profesor di USIM sama ada dalam atau di luar negara. Saya amat berharap usaha ini akan dapat menyemarakkan lagi suasana akademik di USIM di mana kakitangan senior membimbing kakitangan junior. Bagi kakitangan pengurusan dan profesional dan kakitangan sokongan pula, modul latihan bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan dan pentadbiran akan dimantapkan lagi. Saya berharap, program pembinaan semangat berpasukan di kalangan warga USIM akan dapat diadakan secara berterusan bagi menanamkan jati diri pada kakitangan. Saya percaya, perasaan menyayangi USIM akan dapat memupuk motivasi pada semua warga Universiti melihat kerja sebagai ibadah.

Q5 Y.Bhg Dato’ dilihat amat bersikap terbuka khususnya dengan pelajar dan menyantuni mereka semua termasuklah melalui media sosial. Bagaimanakah Y.Bhg Dato’ melihat kepentingan perkara ini dalam memupuk budaya Naqli dan Akli di USIM?

 

Saya seorang yang positif dan bersifat terbuka dengan semua pihak. Sebagai seorang pemimpin, sewajarnya konsep kepemimpinan dalam Islam itu perlu dicontohi dan diteladani seperti Khalifah Umar Al-Khattab yang sering mendekati rakyatnya bagi membantu dan menghayati isu yang dialami mereka. Maka dengan sebab itulah saya melihat media sosial sebagai satu platform bagi saya menghayati isu yang berlaku di kalangan pelajar dan kakitangan. Usaha ini saya dapati antara yang berkesan untuk memastikan bahawa setiap perkhidmatan yang diberikan oleh USIM mesra pengguna dan memudahkan warga USIM khususnya pelajar di samping membuat penambahbaikan bagi perkara yang mendapat respon negatif daripada pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa. Saya berharap semua kakitangan dan pelajar menggunakan platform media sosial dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut bagi perkara tidak bermoral yang akhir hanya menjejaskan reputasi Universiti dan pengguna media sosial itu sendiri.

Q6 Apakah cabaran masa depan dan harapan Y.Bhg Dato’ pada USIM dalam arus pendidikan tinggi negara pada masa kini?

 

Ini merupakan soalan yang sukar untuk saya nyatakan dengan kata-kata kerana masa depan sukar untuk kita ramalkan. Namun begitu, saya percaya jika kita mempunyai niat yang baik, InsyaAllah, Tuhan akan memudahkan perjalanan kita semua walau beribu cabaran yang mendatang. Maka dengan sebab itulah, saya melihat cabaran terbesar saya ialah untuk membentuk warga USIM berjiwa besar bagi bersama-sama membantu membangunkan Universiti ini. Amat malang sekiranya hanya ada satu pihak yang memainkan peranan sedangkan pihak lain hanya melihat dan mengkritik sahaja. Saya percaya setiap daripada warga USIM mempunyai sesuatu untuk disumbangan untuk kemajuan USIM. Saya amat mengalu-alukan semua pandangan, komen, kritikan dan cadangan demi memastikan usaha menjadikan USIM sebagai sebuah Universiti yang disegani akan tercapai satu hari kelak.

Pada masa yang sama, saya melihat mengenai usaha untuk mendapatkan dana bagi membiayai keperluan infrastruktur di Universiti ini selari dengan perkembangan program pengajian, pelajar dan kakitangan USIM. Maka dengan sebab itulah, usaha mendapatkan dana wakaf kini dipertingkatkan lagi di samping melihat kerjasama strategik di antara Universiti dengan pihak industri. Saya amat berharap program kerjasama dengan industri akan membolehkan lebih banyak peluang untuk kakitangan Universiti menimba pengalaman profesional secara berterusan dan pada masa yang sama mampu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di Universiti ini. Saya juga melihat penggunaan Teknologi, Komunikasi dan Maklumat (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran perlu diperluaskan lagi. Perkhidmatan oleh Pusat  Akses Pembelajaran Terbuka Global (GOAL) kini telah mulai diterima oleh pelajar dan kakitangan USIM dalam memastikan pengajian atas talian terus menjadi agenda pendidikan tinggi pada masa depan.

Selain itu juga, saya melihat cabaran dalam usaha pembangunan mahasiswa di USIM sama ada dalam aspek pembangunan sahsiah diri, akademik, kemahiran dan sebagainya. Menyedari akan hakikat inilah, pihak pengurusan Universiti akan membuat semakan semula isu-isu berkaitan dengan kebajikan pelajar agar semua mahasiswa dapat menikmati proses pembelajaran dengan selesa. Saya percaya dan penuh yakin, graduan yang dilahirkan oleh USIM mampu menjadi pemimpin dan duta kepada Universiti pada masa akan datang. Justeru, susaya berdoa pada Allah Taala agar dapat memberikan kekuatan dan ketabahan untuk saya menguruskan Universiti ini dengan sebaik mungkin.