Profesor Dr. Kamaruzzaman Seman merupakan Dekan Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina USIM

S1Bolehkah YBhg Prof. ceritakan sedikit sebanyak latar belakang penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)?.

Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara rasminya ditubuhkan pada 10 Disember 2015 setelah pihak Universiti menerima surat kelulusan daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Namun begitu, sebenarnya penubuhan FKAB telah lama dirancang tetapi disebabkan beberapa perkara teknikal yang tidak didapat dielakkan, maka rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan terlebih dauhulu dan program Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik) dan Sarjana Muda Sains Senibina diletakkan pada peringkat awalnya di bawah Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Memandangkan kedua-dua program pengajian ini adalah program akademik profesional yang tertakluk kepada akreditasi badan-badan profesional, maka saya merasakan perlu diwujudkan fakulti baru bagi menaungi program kejuruteraan dan alam bina ini. Langkah pertama saya adalah mengadakan perbincangan dengan Ketua Program Sains Senibina. Alhamdulillah, semuanya telah dipermudahkan oleh Allah SWT dan berjalan lancar. Kami bersepakat untuk bergabung di bawah satu payung yang dinamakan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Seterusnya saya mengadakan pertemuan secara peribadi dengan YBhg Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM untuk mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas yang dinamakan Jawatankuasa Penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina pada bulan November 2013 yang mana saya telah dilantik sebagai pengerusinya. Ahli-ahlinya terdiri dari wakil JPPF, Jabatan Pendaftar, Pusat Teknologi Maklumat, Jabatan Bendahari, dan beberapa pensyarah kanan dari Program Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik) dan Program Senibina. Setelah mengadakan beberapa siri bengkel, kami telah berjaya menyediakan dokumen cadangan penubuhan FKAB dan telah dihantar kepada KPT pada awal tahun 2015.

S2Bagaimanakah dengan penawaran Program Pengajian Akademik oleh FKAB pada masa ini dan perancangan pada masa akan datang?

Pada masa ini, FKAB mempunyai dua program yang sedang berjalan iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) dan Sarjana Muda Sains Senibina (LAM part 1) dengan jumlah pelajar seramai 165 orang. Program Kejuruteraan Eletronik bermula pada tahun 2013 dengan kemasukan kohort pertama seramai 24 orang. Manakala Program Seni bina bermula pada 2012. Perancangan FKAB akan datang adalah menawarkan program-program baru Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia pada tahun 2019. Bagi Program Alam Bina pula, akan menawakan program Sarjana Muda Sains Ukur Bahan (2017),  Sarjana Seni Bina (2020), dan Sarjana Muda Pengurusan Lanskap (2021). Oleh itu jumlah program yang ditawarkan oleh FKAB pada 2021 adalah  adalah sebanyak tujuh buah program dengan unjuran pelajar prasiswazah dan pasca siswazah berjumlah 1600 orang.

S3 Faktor kos sering menjadi isu utama dalam membuka sebuah fakulti berkaitan dengan kejuruteraan dan senibina. Apakah komen YBhg Prof dalam konteks ini?

Memang benar secara umumnya kos menjadi faktor utama sesebuah universiti sebelum memutuskan samada hendak menubuhkan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina ini. Situasi ini berlaku kerana kos peralatan makmal yang agak mahal terutama bagi bidang kejuruteraan. Namun begitu, tidak semua bidang kejuruteraan memerlukan peralatan yang besar. Contohnya program kejuruteraan elektronik yang merupakan program yang paling minima daripada segi kos jika dibandingkan dengan program Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Kimia, Aeroangkasa dan lain-lainnya. Pada masa akan datang, bagi program baru kejuruteraan, kami merancang untuk mengguna pakai kemudahan Kejuruteraan Elektronik yang telah dibangunkan dengan baik sekali. Contohnya, pihak FKAB boleh memperkenal Kejuruteraan Mekanika (Automation) dengan menggabungkan Kejuruteraan Elektronik, Elektrikal, dan Mekanikal. USIM hanya perlu membangunkan beberapa makmal asas mekanikal sahaja untuk menyokong program tersebut. Melalui strategi ini, FKAB boleh memperkenalkan bidang mekanikal pula. Pada masa akan datang, FKAb akan cuba menggabungkan kemudahan mekanikal, elektrikal dan kimia bagi menubuhkan Kejuruteraan Kimia (Kejuruteraan Tenaga). Strategi seperti ini akan dapat membantu untuk mengurangkan kos pembangunan fakulti dalam jangka panjang kerana semua kemudahan dan peralatan digunakan secara optimum.

S4 Sejauhmanakah YBhg Prof melihat prospek kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan senibina pada masa akan datang?

Prospek kerjaya bagi graduan FKAB adalah cerah. Ini kerana sektor kejuruteraan yg merupakan sektor pekerjaan yang mempunyai potensi yang besar di dunia. Permintaan dari organisasi tempatan dan di peringkat global kepada graduan kejuruteraan dalam bidang elektrikal, elektronik, mekanikal, dan kimia masih lagi tinggi. Ini kerana program-program kejuruteraan di universiti negara ini adalah di bawah Washington Accord yang mana setiap graduan WA diiktiraf oleh semua yang negara yang menandatangani WA. Oleh itu peluang pekerjaan agak luas. Begitu juga dengan permintaan yang tinggi kepada graduan-graduan program Seni Bina. Ini pula disokong oleh 12 Objektif Program FKAB yang berupaya menghasilkan graduan holistik yang seimbang dengan Naqli dan Aqlinya.

S5 Isu-isu dan Cabaran yang Dihadapi oleh YBhg Prof untuk merealisasikan penubuhan FKAB ini?

Terdapat banyak isu dan cabaran dalam penubuhan FKAB ini dan juga keperluan untuk masa hadapan. Pertamanya dalam aspek pembangunan staf iaitu bagi menyediakan struktur asas organisasi agar FKAB dapat berfungsi secara optimum. Ini penting kerana, pembangunan modal insan yang kompeten akan banyak membantu memastikan tadbir urus pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna. Keduanya, cabaran dalam memenuhi keperluan piawaian yang ditetapkan oleh badan akreditasi seperti Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) dan juga Lembaga Arkitek Malaysia (LAM). Bagi mencapai standard ini, pihak FKAB akan cuba memastikan proses dokumentasi dokumen-dokumen akademik dan fasiliti mencapai tahap yang dikehendaki olah badan-badan profesional ini. Ketiganya ialah FKAB secara serius melihat dan memantau perubahan yang berlaku dalam bidang kejuruteraan dan seni bina ini di peringkat dunia. Aspek ini penting kerana, perubahan yang berlaku dalam teknologi kejuruteran dan seni bina akan mengubah landskap industri ini kerana ia melibatkan kos yang tinggi dan penerimaan pelanggan dengan konsep baru bagi sesuatu inovasi itu. Cabaran yang terakhir adalah dalam menghasilkan graduan yang memenuhi kehendak industri. Isu ini mendapat perhatian serius FKAB bagi memastikan graduan FKAB laris dalam pasaran industri. Maka dengan sebab itulah, pelajar FKAB bukan hanya diberikan pendidikan dalam bidang masing-masing, malah akan diterapkan dengan kemahiran pembangunan kendiri terutamanya kepimpinan, komunikasi, membuat keputusan, penilaian risiko, disiplin dan sebagainya. Semua ini penting bagi memastikan graduan FKAB mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan global kelak.

S6  Apakah harapan Y.Bhg Prof terhadap graduan lulusan FKAB USIM ini?

Harapan saya sebagai Dekan Pengasas FKAB yang diamanahkan oleh pengurusan USIM ialah bagi menghasilkan bukan sahaja graduan Kejuruteraan dan Alam Bina yang relevan kepada industri, tetapi juga merupakan pembawa obor FAKB dan USIM yang suatu hari nanti menjadi benchmarking (penanda aras) dari segi profesionalisme (berpengetahuan dan mahir dalam bidang) dan juga tinggi sifat Al Amin (amanah, mahir berkomunikasi, keusahawanan, kepimpinan, kemahiran berfikir secara kritikal). Ini dapat dicapai dengan penerapan falsafah integrasi ilmu Naqli dan Aqli bukan sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan. Graduan USIM yang dibentuk juga berkemahiran untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi di FKAB bagi menyelesaikan masalah-masalah yag dihadapi oleh umat sejagat tanpa mengira di mana mereka berada. Selain itu juga, saya amat berharap agar pihak industri boleh membantu dalam usaha untuk menjayakan konsep program pengajian 2 tahun di Universiti dan 2 tahun dalam industri. Konsep ini penting kerana, Program Pengajian Kejuruteraan dan Seni Bina merupakan program profesional. Maka aspek ‘hands on’ amat penting bagi meningkatkan kualiti graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek teori tetapi juga pakar dalam bidang kemahiran mereka. Maka dengan sebab itulah, pihak badan professional dan juga industri perlu berbincang mengenai perkara ini demi memastikan kelangsungan kerjaya dalam bidang kejuruteran dan seni bina pada masa akan datang.