NILAI, 8 Sept. – Seramai 1,894 pelajar Ijazah Sarjana Muda mendaftar secara rasmi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada hari pendaftaran universiti semalam.

Daripada jumlah tersebut, seramai 533 orang ialah pelajar lelaki manakala 1,361 orang lagi merupakan  pelajar wanita yang mengikuti pengajian di lapan fakulti pengajian di USIM.

Semua pelajar baru akan mengikuti program Minggu Taa’ruf sehingga Jumaat ini dan acara kemuncak bagi para pelajar adalah Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baru, telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda berkata, Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baru ini adalah majlis yang amat bermakna sekali, kerana setiap pelajar akan membaca ikrar, iaitu membuat akujanji kepada diri sendiri.

“Pada petang ini, para pelajar akan berjanji untuk menjadi pelajar yang baik, bertekad untuk mencapai kecemerlangan dan juga menjadi warga yang baik terhadap Universiti ini, agama, bangsa dan negara dan sebaik sahaja tamat pembacaan ikrar ini, maka dengan secara rasminya semua pelajar akan bergelar pelajar USIM” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, katanya, Ini merupakan bilangan pelajar yang terbesar mendaftar sejak USIM ditubuhkan, menjangkaui pelbagai bidang, meliputi bidang sains sosial, sains dan teknologi, termasuk perubatan dan pergigian.

Oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027/013-2575 375G