KEMBOJA, 6 Julai – Seramai 23 pelajar Pengajian Agama dan Akidah Tahun 3, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) telah mengadakan program khidmat masyarakat atau Global International Students Outreach (GISO) ke Kampung Potti Inn, Kemboja selama lima hari empat malam bermula pada 1 Julai.

Rombongan yang disertai oleh Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani selaku Pensyarah Pengiring adalah untuk mendedahkan mahasiswa kepada masyarakat di luar negara yang hidup dalam kesusahan bagi meningkatkan jati diri dan pemikiran yang kritis seterusnya melatih kepimpinan dan kemahiran berorganisasi semasa mengendalikan aktiviti yang telah dirancangkan.

Selain itu, tujuan kami juga ke sana adalah untuk memberi bantuan dalam bentuk pendidikan khususnya kepada anak-anak Islam Kemboja untuk mengendalikan kelas Bahasa Inggeris, Tajwid al-Quran dan kelas kemahiran ICT.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Asyraf Izzat bin Abdul Wahab, program kemasyarakatan ini telah banyak membantu kami memahami nasib masyarakat yang minoritinya beragama Islam di sini yang berada dalam keadaan kemiskinan.

“Sebelum ke sini, kami juga turut mencari bantuan dan sumbangan daripada orang ramai untuk didermakan kepada masyarakat di sini. Alhamdulillah sumbangan yang kami terima dari masyarakat di Malaysia telah  berjaya digunakan untuk membina perigi, mengedarkan pakaian, mengadakan majlis aqiqah, mengecat asrama dan melaksanakan modul untuk kelas Fardhu Ain,” katanya ketika ditemubual sejurus selepas program selesai.

“Saya mewakili penduduk di Kampung Potti Inn ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kunjungan para pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah sudi membantu penduduk kampung di sini dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan menarik,” kata Mufti Kemboja, Tuan Hj Kamaruddin Hj Yusuf di Majlis Perasmian Penutupan.

Merurut beliau lagi, pihak kami sangat terharu menerima sumbangan generator yang akan digunakan oleh semua penduduk kampung ini yang pasti akan banyak membantu kami semua untuk melakukan aktiviti harian lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadhan.

Antara aktiviti yang dijalankan di sana ialah pertemuan bersama Mufti Kemboja iaitu Tuan Hj Kamaruddin Hj Yusuf, melawat asrama dan Madrasah An’ Nikmah di Phnom Penh dan di Kampung Potti Inn, solat berjamaah bersama penduduk kampung, tazkirah solat Maghrib dan Subuh, aktiviti sukaneka dan gotong-royong mengindahkan kawasan sekolah dan asrama.

Disediakan oleh :

Fauziah Hassan

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Disunting oleh :

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)