NILAI, 23 OGOS 2016 – Seramai 58 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengikuti kursus berbentuk kepolisan menerusi badan beruniform Kor Sukarelawan Polis Siwa Siswi (Suksis) berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis.

Penyampaian watikah ini disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Kali Ke-12 di Universiti Putra Malaysia pada Ahad. Pelatih Kor Suksis USIM yang ditauliahkan ini terdiri daripada 24 lelaki dan 34 perempuan yang telah mengikuti kursus ini selama enam semester pengajian mereka diperingkat Sarjana Muda.

Pada majlis pentauliahan ini, tiga orang penuntut USIM turut menerima anugerah iaitu Nur Aina Mohd Wahid, 22 selaku Pelatih Terbaik Keseluruan; Muhamad Afiq Mohamad Nadzree,22 dipilih Pelatih Terbaik Latihan Luar; dan Mohamad Syukry Daud, 22 sebagai Pelatih Terbaik Latihan Akademik.

Menurut Nur Aina yang mengambil jurusan Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, minat yang mendalam pada aktiviti luar dan lasak membuatnya memilih Suksis pada tahun pertama pengajian. “Pengalaman menyertai aktiviti survival, ikhitiar hidup, meredah hutan dan perkhemahan yang dilakukan bersama rakan pelatih lain memang mencabar. Alhamdulillah, menerima anugerah ini merupakan hadiah bermakna untuk kedua ibubapa saya dan kenangan terindah peribadi setakat ini”.

Bagi Mohamad Shukry, pelajar Sunnah dan Pengurusan Maklumat melihat kejayaan kakaknya,graduan Universiti Malaysia Terengganu yang ditauliahkan pada 2013 menjadi inspirasi baginya untuk mengikut jejak langkah yang sama menyertai Suksis. “InsyaAllah saya memilih untuk menyertai PDRM selepas graduasi kelak kerana ini cita-cita saya sejak kecil”.

Komandan Kor Suksis USIM, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan melahirkan rasa bangga atas pencapaian para pelatih kali ini. “USIM kini telah melahirkan seramai 441 Inspektor Sukarelawan yang berjaya ditauliahkan termasuk kumpulan pelatih ini semenjak Kor Suksis USIM ditubuhkan pada 2006.

Kor Suksis bertujuan memberi penerapan nilai kepolisan agar mereka memiliki pengetahuan undang-undang, kemahiran, berdaya saing, berdisplin, berketrampilan dan dilengkapi dengan nilai-nilai murni serta harga diri yang tinggi mengikut acuan Polis Diraja Malaysia. Secara keseluruhannya seramai 1082 pelatih Kor Suksis Universiti Awam seluruh negara ditauliahkan dalam majlis tersebut.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204