SEREMBAN, 15 Januari 2021 -Bersempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke-73, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 14 Januari 2021 lalu, seramai enam kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima darjah kebesaran dan pingat daripada DYMM Tuanku Muhriz. Naib Canselor, Prof. Dr Mohamed Ridza dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) yang membawa gelaran Dato’.

Beliau yang mula berkhidmat sebagai Naib Canselor USIM pada 23 September 2019 telah menetapkan Misi USIM 2022 untuk menjadikan USIM sebagai sebuah universiti sains islam glokal yang berimpak tinggi sebagai misi utama. Bagi memastikan misi ini dicapai, dalam amanat sulungnya sebagai Naib Canselor pada 21 Februari 2020, tujuh Annual Goals 2020 telah digariskan untuk dilaksanakan secara berstrategik. Tujuh sasaran awal tersebut adalah Infaq Campaign Crowd Funding; Prospective Students and Alumni; dan Prosumerism Initiative Developer Enterprenuer. Turut menjadi agenda ialah Da’wah and Multi-Cultural Society and Volunteerisme; Public Interest Intellectuals; Students Accomodation; dan Personal Tutelage for Teaching and Learning.

Mantan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah iaitu Prof Madya Dr, Adnan Mohamed Yusoff yang kini merupakan Pengarah Institut Sains Islam menerima anugerah Darjah Setia Negeri Sembilan (D.N.S). Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr Nik Shafikudin Md Taujuddin dan Timbalan Bendahari Kanan Puan Siti Nurbaya Ismail dianugerahkan Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S). Manakala Puan Hermawatimazuen Bahari, Ketua Pembantu Tadbir yang berkhidmat di Pusat Pengajian Siswazah dan Mohd Jamil Ahmad Mokhtar Pembantu Pustakawan Kanan yang bertugas di Jabatan Perpustakaan menerima Pingat Khidmat Cemerlang (P.M.C).

Pengurniaan darjah, bintang dan pingat kepada kakitangan USIM secara langsung merupakan satu bentuk penghargaan kepada sumbangan dan perkhidmatan yang cemerlang kepada universiti serta Negeri Sembilan. Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung pada 14 Januari di Istana Besar Seri Menanti lalu ditangguhkan atas titah DYMM Tuanku Muhriz susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada tahun ini seramai 272 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan