NILAI – Seramai 852 orang pelajar mendaftar pada Hari Pendaftaran Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi Akademik 2012/2013 yang di adakan di Stadium Tertutup Nilai pada 23 Mei yang lalu. Daripada jumlah itu, seramai 635 adalah pelajar perempuan dan selebihnya 217  adalah pelajar lelaki.

Kesemua yang mendaftar ditempatkan di lima program pengajian yang ditawarkan di Pusat Tamhidi USIM dengan pecahan seramai 92 pelajar bagi program Tamhidi Pergigian; 101 pelajar bagi Tamhidi Perubatan dan 193 pelajar bagi program Tamhidi Perakaunan dan Muamalat.

Dalam pada itu bagi program Tamhidi Sains dan Teknologi, seramai 337 orang pelajar mendaftar bagi program tersebut manakala 129 orang pelajar  lagi mendaftar bagi program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang.

Sesi pendaftaran yang dimulakan seawal jam 8.30 pagi itu berjalan dengan lancar dan teratur. Sepanjang proses dan sesi pendaftaran berlangsung, pihak universiti turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada para ibu-bapa pelajar secara percuma yang dikendalikan dengan kerjasama Unit Kesihatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPG).

Proses pendaftaran kemudiannya selesai pada jam 3 petang dan seterusnya diteruskan dengan program Hari Taaruf Pelajar Tamhidi selama 5 hari berikutnya sehingga 27 Mei 2012 dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang telah disediakan khusus kepada para pelajar baru Tamhidi yang mendaftar.

Seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelajar baru Tamhidi bagi Sesi Akademik 2012/2013.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa