Sejajar hasrat memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0, eZCyberCrime telah menyediakan satu penyelesaian tepat dan pantas yang boleh mengenalpasti serta mencegah serangan siber hanya melalui telefon pintar.

Menurut ketua kumpulan penyelidik, Prof. Madya Ts Dr. Madihah Mohd Saudi, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), eZCyberCrime berpotensi mengesan eksploitasi sumber (root exploitation) berdasarkan ciri pengawasan secara pengesanan dan gerak balas automatik. Kajian sejak tahun 2014 bersama ahli kumpulan telah menemukan satu solusi supaya eZCyberCrime mampu berfungsi tanpa menganggu prestasi dan bateri telefon pintar, malah dapat memaparkan keputusan dalam masa yang singkat.

Katanya, eZCyberCrime direka selaras usaha menyokong aspirasi Universiti bagi menjadikan USIM ke arah kampus pintar dan pada masa yang sama mendidik warganya ambil peduli serta bijak mengendalikan kesulitan semasa menggunakan telefon pintar.

Produk inovasi ciptaan kumpulan penyelidik ini menggabungkan tiga ciri iaitu teknik kecerdasan buatan (AI), analitik pintar dan konsep sistem immunologi manusia yang dikenali sebagai apoptosis. Ia mengambil kira lima elemen dalam telefon pintar terutamanya peranti Andriod yang mudah dieksploitasi oleh penyerang iaitu melalui panggilan telefon, SMS, kamera, audio dan GPS.

“Setelah mengenal pasti lima elemen tersebut, serangan yang bakal berlaku dapat dikesan lebih awal untuk mengelakkan kesan buruk antaranya kerugian wang apabila penyerang mensasarkan serangan maklumat akaun bank,” ujarnya lagi.

Yakin bahawa produk inovasi ini mampu mendapat tempat, Prof. Madya Ts Dr. Madihah juga berharap agar eZCyberCrime dapat ditingkatkan lagi penggunaan dan mempelbagaikan fungsi dalam aspek keselamatan data pengguna telefon pintar, dalam usaha menangani jenayah siber yang semakin berleluasa kini selain mengharapkan masyarakat akan menyedari kewujudan aplikasi ini seiring dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga harta (hifz al-mal).

eZCyberCrime telah meraih pingat perak dalam 30th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2019 pada Mei lalu, dicipta sejajar dengan situasi masa kini seperti kes serangan siber aplikasi whatsapp. Turut menganggotai kumpulan penyelidik ini ialah Dr. Azuan Ahmad, Pensyarah FST, USIM dan En. Zubaile Abdullah, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan