NILAI, 4 Mac 2023 – Dalam usaha untuk merapatkan hubungan di antara alumni bersama alma mater, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Alumni dan Kerjaya USIM, Koperasi Siswa USIM dan Sekretariat Pelajar FEM telah mengambil langkah proaktif menganjurkan program reunion bagi merasmikan penubuhan Chapter Alumni FEM yang buat julung kalinya diadakan di kampus utama USIM di Nilai.

Bertemakan ‘We Are FEMily’, program yang berlangsung pada 4 Mac 2023 di Fakulti Ekonomi dan Muamalat ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 120 orang alumni. Di dalam program ini, Dekan Pengasas FEM, Dato’ Dr. Muhamad Muda telah berbesar hati merasmikan penubuhan Chapter Alumni Fakulti. Majlis gemilang ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Pengarah Pusat Alumni, Tuan Hj. Mazlan Nawang.

Dr Junaidah Abu Seman, pensyarah merangkap Pengarah program berkata, penganjuran Chapter Alumni FEM ini adalah bertujuan untuk menghubungkan silaturrahim di antara alumni FEM dan universiti khususnya serta bagi menyediakan medium kepada alumni untuk berinteraksi secara efektif dan professional bagi menyampai dan berkongsi sebarang maklumat berupa kemahiran, kepakaran, sumbangan dan sebagainya dalam usaha untuk memajukan kecemerlangan Fakulti.

“Program ini berjaya melibatkan pelbagai pihak yang terdiri daripada kalangan pelajar, pensyarah, alumni serta pihak fakulti dan pengurusan universiti. Kerjasama erat ini dilihat dapat memberi impak positif daripada sudut penjanaan idea, sumbangan kepakaran, tenaga kerja, di samping merapatkan hubungan antara semua pihak.

Program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti sumbang saran alumni, pertukaran hadiah, cabutan bertuah, aktiviti kanak-kanak serta pameran reruai. Selain itu, melalui aktiviti Treasure Hunt, semua alumni berpeluang untuk melihat kawasan dan fasiliti terkini di fakulti seperti Investment Lab, Mini Bank, pejabat Graduate School of Muamalat, bilik kuliah dan lain-lain.

 

 

 

 

sumber: FEM

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan