NILAI, 22 MEI 2015- Kejohanan Sukan Staf Antara Jabatan USIM merupakan acara tahunan yang di nanti-nanti oleh kakitangan USIM bagi bersaing dan bertanding untuk meraih pingat dalam acara sukan yang diwakili. Pada tahun ini juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf telah dimiliki oleh Gugusan D (Ali bin Abi Talib).

Jabatan dibahagikan kepada empat gugusan iaitu gugusan A (Abu Bakar As-Siddiq), gugusan B (Umar Al-Khatab), gugusan C (Uthman bin Affan) dan gugusan D (Ali bin Abi Talib). Program anjuran Majlis Sukan Kakitangan USIM dengan kerjasama Pusat Sukan ini bermula pada 11 Mei hingga 22 Mei dengan mempertandingkan 16 acara utama antaranya sukan bola sepak, olahraga, memanah, catur, badminton, futsal dan bola tampar.

“Kejohanan sukan ini merupakan salah satu platform bagi kakitangan USIM menyertai sukan di peringkat lebih tinggi seperti Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) dan Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN)”.

“Dalam membudayakan semangat kesukanan di USIM, pengurusan universiti bersama staf dan pelajar melakukan senaman aerobik dan acara berbasikal setiap minggu pada hari Rabu bagi memupuk budaya “USIM Cergas dan Cerdas”, ujar Prof. Dato Dr. Musa Ahmad semasa merasmikan Majlis Pembukaan Kejohahan Sukan Staf di Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Menurut Prof. Dato Musa lagi, Majlis Anugerah Sukan USIM turut dianjurkan bagi mengiktiraf warga USIM yang aktif berkecimpung di dalam bidang sukan dan memberi penghargaan kepada atlet USIM yang telah mengharumkan nama USIM samada diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa melalui anugerah-anugerah seperti anugerah olahragawan, anugerah olahragawati dan pasukan harapan.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Pendaftar Encik Haizuan Rozali dan Pengarah Pusat Sukan USIM Encik Hamran Husin bagi memberi sokongan kepada kontinjen masing-masing.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan