NILAI, 12 SEPT 2015 – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-15 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun ini, USIM telah menganjurkan Hari Terbuka pada Sabtu 12 September bertempat di Kampus Induknya di Nilai, Negeri Sembilan.

Dimulakan pada Jumaat malam 11 September telah berlangsung Konsert Malam Cinta Rasul menjadi pembuka Hari Terbuka USIM yang berlangsung di Dataran Dewan Tuanku Canselor dihadiri oleh pengurusan universiti serta para pelajar.

Pada pagi Sabtu bermula seawal jam 7.30 pagi pula, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Peljar & Alumni) USIM Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan melepaskan peserta Larian Amat Fit USIM Charity Run sejauh 7km yang disertai lebih 500 peserta terdiri daripada komuniti setempat dan para pelajar. Ia turut disertai oleh Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad.

Pelbagai pengisian diatur dari peringkat kanak-kanak, pelajar sekolah, penuntut Universiti dan juga komuniti. Antaranya pengunjung boleh mendapatkan maklumat langsung program akademik dari booth fakulti, meneroka alam sains dengan aktiviti science outreach, pameran sejarah dan citra USIM, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, Seminar Kerjaya Pegawai Hal Ehwal Islam bersama JAKIM, gerai jualan, sudut inovasi dan kreativiti serta Jelajah Kampus.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapannya berkata penganjuran Hari Terbuka USIM ini adalah satu bentuk manifestasi penghargaan Universiti kepada ibu-bapa, guru-guru, para pelajar, pihak sekolah, komuniti setempat, industri dan warga USIM yang secara tidak langsung menjadi sebahagian dari watak penting yang telah menyumbangkan serta memberi ilham kejayaan memateri kegemilangan Universiti.

“Ia juga dilihat sebagai salah satu platform bagi merapatkan hubungan USIM dengan masyarakat setempat di mana ianya sejajar dengan outcome USIM iaitu “untuk menjadi nombor satu di minda dan di hati masyarakat”.

“Hari Terbuka USIM ini akan memberikan gambaran dan pemahaman yang lebih jelas kepada pengunjung mengenai keistimewaan USIM terutamanya dalam penawaran program pengajian yang serta berbeza daripada Universiti Islam di seluruh dunia. USIM komited untuk menjadi Pusat Rujukan Integrasi Naqli dan Aqli di peringkat serantau pada tahun 2016 dan melebarkan layar gemilang sebagai Universiti rujukan global yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli ini pada tahun 2025”, tambah Dato’ Musa.

USIM turut berbesar hati kerana pihak pengurusan Bank Islam diwakili oleh  Yang Berusaha Ustaz Mohd Nazri Chik, Penolong Pengurus Besar Bahagian Shariah Bank Islam mewakili YBhg. Dato’ Sri Zukri Samat, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam turut menyampaikan sumbangan zakat 2015 berjumlah RM 30,000.00 dan RM 20,000.00 selaku penaja Anugerah Kecemerlangan Dato’ Dr. Ismail Halim kepada graduan cemerlang USIM sempena Majlis Konvokesyen ke-13 USIM yang bakal berlangsung pada November nanti.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204