NILAI, 19 April 2021 – Jika diimbau pada tahun lepas, tiada edaran bubur lambuk dibuat kerana seluruh dunia menghadapi pandemik Covid-19 namun pada tahun ini, kerinduan untuk menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk telah direalisasikan dalam suasana norma baharu.

Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun ini bergabung tenaga untuk menyediakan juadah bubur lambuk kepada kira-kira 1800 staf dan pelajar yang masih mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di kampus.

Menurut Pengarah Pusat Perumahan, En Mohd Salehudin Sukor, edaran bubur lambuk ini sudah menjadi kemestian dan tradisi di PRUPEL kerana ingin meraikan para pelajar terutamanya yang masih berada di kampus. Namun, pada tahun lepas ianya tidak dapat dilaksanakan disebakan dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah pada tahun ini, PRUPEL bekerjasama dengan Pusat Islam dapat menyiapkan juadah bubur lambuk dalam suasana norma baharu yang mana akan diedarkan di Pusat Islam ketika waktu berbuka puasa dan juga di pintu masuk utama,” katanya lagi.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, walaupun kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun semangat staf untuk berkerjasama apabila datang bulan Ramadhan untuk menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk perlu dipuji.

“Saya turut meninjau penyediaan dan pengagihan bubur lambuk bagi memastikan staf yang terlibat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, bersarung tangan dan memakai apron untuk memastikan juadah yang disediakan bersih dan selamat,” katanya yang turut membantu mengagihkan bubur lambuk di pintu masuk utama USIM.

Penyelaras program pada tahun ini, Puan Tengku Azwani Tengku Azmi berkata akhirnya PRUPEL dapat melepaskan kerinduan menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk selepas tidak dapat dibuat pada tahun lepas. Menurutnya lagi, bubur lambuk yang disediakan masih lagi mengekalkan resepi dan ramuan khusus yang sama seperti tahun lepas.

“Edaran bubur lambuk ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mengeratkan ukhuwah yang terjalin di antara kakitangan dan pelajar USIM. Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan suasana seronok bekerjasama sambil beramal ibadat dalam kalangan kakitangan.

“Bagi pihak PRUPEL dan Pusat Islam, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan program edaran bubur lambuk ini,” katanya.

 

Disediakan oleh:
Fauziah Hasan

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan