SEREMBAN, 19 Julai – Kumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyertai Program 1M4U USIM turut tidak mahu ketinggalan mengambil keberkatan sepanjang bulan Ramadhan ini dengan dengan mengadakan beberapa program yang bersesuaian untuk masyarakat setempat.

Program 1M4U yang diwujudkan oleh Kerajaan bagi menggalakkan dan mengukuhkan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelaan melalui pendekatan yang lebih proaktif  dilihat amat berjaya menarik penyertaan mahasiswa dalam pelbagai program kesukarelaan yang telah diadakan seluruh Negara.

Justeru itu, 1M4U USIM baru-baru ini telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim bertempat di Hotel Seri Malaysia, Seremban. Seramai 60 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Asnaf Murni dan Murad Foundation yang berumur di antara 2 hingga 17 tahun diraikan dalam majlis ini.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hj. Abdul Murad Ahmad, Pengerusi Murad Foundation dan kakitangan dari 1M4U Malaysia.

“Saya melihat platform 1M4U ini amat bersesuaian untuk kita menyemarakkan semangat kesukarelaan kepada anak muda. Suka untuk saya melihat, semangat dan sumbangan yang diberikan oleh mahasiswa 1M4U USIM dapat diteruskan walaupun telah tamat pengajian kelak, jadikan satu budaya dan amalan, bukannya kerja yang bermusim” ucap YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah semasa merasmikan majlis ini.

Selain berbuka puasa, anak-anak ini juga turut menerima sumbangan hamper dan cenderamata daripada 1M4U USIM. Menurut Saudara Mohd Izzat Mohd Zafri, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) yang aktif dalam 1M4U USIM, memaklumkan bahawa selain majlis berbuka puasa ini, terdapat aktiviti lain telah mereka laksanakan sepanjang Ramadhan ini.

“Sempena Ramadhan ini, 1M4U USIM telah membentuk satu kumpulan khusus yang terdiri daripada 15 orang pelajar. Kami telah bergotong royong bagi menyediakan bubur lambuk dan diedarkan kepada para pengunjung bazar Ramadhan sekitar Nilai” ulasnya.

Tambahnya lagi “Alhamdulillah, segala program yang dirancang berjalan dengan baik dan lancar, manfaatnya dapat dikongsikan dengan masyarakat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik. Komitmen pelajar yang mengorbankan cuti semester juga amat dihargai.”

Tidak hanya tertumpu di Nilai, kumpulan pelajar ini juga turut bergotong-royong dengan kakitangan Surau Al-Ikhwan, Bangi baru-baru untuk menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada kariah berdekatan. Aktiviti yang dirancang selepas ini oleh 1M4U USIM adalah Jelajah Berbasikal ke Rumah Anak-Anak Yatim sekitar Nilai dan Seremban.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm