Prof Dr Norita Md Norwawi
Prof Dr Norita Md NorwawiPensyarah Fakulti Sains dan Teknologi merupakan Jemaah Profesor USIM

Dalam budaya ilmu Islam khususnya, perkara yang paling utama yang diberikan penekanan adalah keberkatan dari ilmu yang diperolehi. Akhlak merupakan penentu kepada limpahan keberkatan ke atas penuntut ilmu mahupun yang mengajar. Sedari awal kita telah dituntut dengan adab utama menuntut ilmu sebagaimana dalam wahyu pertama. Allah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW, Iqra’Bismirabbikal Ladzi Khalaq yang bermaksud “Bacalah dengan nama Tuhan engkau yang menciptakan”. Jelas, tujuan utama dalam menuntut ilmu adalah untuk mendapatkan reda Allah yang menciptakan kita dan menganugerahkan ilmu tersebut melalui usaha yang telah kita lakukan.

Selain dari itu, tujuan dan natijah menuntut ilmu adalah untuk mengenal Allah atau makrifatullah. Secara tidak langsung mata hati akan sejurus menginsafi kehebatan dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa. Seseorang menggunakan mata hati dan jiwa tidak akan hanya bertuhankan harta benda semata-mata, kerana segala pangkat, kuasa, wang ringgit yang dimiliki bukan segala-galanya dan diperoleh dengan izin Allah jua.

Semenjak kecil kita dididik oleh insan-insan mulia digelar ‘cikgu’ dengan ilmu yang amat bernilai harganya. Pergorbanan masa dan tenaga guru haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya. Pelajar perlu dididik dengan adab kepada guru kerana adanya keberkatan ilmu di situ berdasarkan panduan dan nasihat Rasulullah SAW. Seterusnya, adab dalam menuntut ilmu melatih pelajar bertanggungjawab untuk menggunakannya dengan betul pada saluran dan tempat yang tepat. Benih-benih amalan yang baik beserta nilai-nilai murni sejagat harus ditanam dalam suasana pembelajaran yang menerapkan nilai moral dan etika kepada Maha Pencipta, ibu-bapa, guru dan bahan ilmu itu sendiri.

Penerapan serta penghayatan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab perlu disemat bermula dari alam persekolahan agar sikap dan amalan baik ini berterusan ke alam pekerjaan yang penuh pancaroba. Konsep integriti diberikan lebih penekanan dan keutamaan sebagai cerminan sikap profesional dan wibawa. Tambahan, para ulama mazhab menjadikan contoh sikap hormat menghormati kepelbagaian pandangan atau kefahaman ilmu.

Maka, dalam budaya ilmu dalam erti kata sebenar, profesionalisme adalah kualiti yang dituntut malahan menjadi ibadah dan amal soleh. Bagi memastikan integriti terpelihara dan nilai ini dipraktikan oleh pelajar dan pensyarah, maka peraturan akademik dilaksanakan untuk memastikan pelajar menyerahkan laporan Turnitin, alatan untuk mengukur darjah kesamaan penulisan. Peratusan persamaan perlu mencapai satu nilai tanda aras yang ditentukan oleh pihak universiti sebelum tesis, cadangan penyelidikan dan penerbitan diterima. Peraturan ini juga terpakai dalam sebarang penulisan artikel jurnal terbitan universiti.

Namun, peraturan juga telah digubal bagi mengendalikan kes-kes melibatkan integriti pelajar atau pensyarah dengan jawatankuasa yang berkaitan sama ada peringkat jabatan mahupun peringkat universiti, Perkara ini juga akan dijelaskan kepada pelajar dalam kursus-kursus penghantar Sains Islam dalam topik Etika Kerja dalam Islam dan kursus Kaedah Penyelidikan manakala untuk staf akademik dan pentadbiran dalam kursus-kursus dan latihan induksi. Semasa setiap perhimpunan staf Bersama Naib Canselor juga, warga kerja USIM perlu membaca ikrar Kerja Berkualiti sebagai pengukuhan kepada nilai-nilai jujur, amanah, bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab. Menjaga dan memelihara kewibawaan sesebuah universiti adalah satu yang imperatif bagi sebuah gedung ilmu. Maka segala mekanisme perlu diwujudkan agar nilai ini sentiasa diterap dan diamalkan.

Seperkara lagi, bagi pelajar yang terlibat dengan penyelidikan dalam peringkat pengajian pascasiswazah, budaya penyelidikan juga perlu difahami. Penyelia dan pelajar seliaan merupakan satu pasukan yang saling berbincang mulai dari bidang tujahan, topik, permasalahan, senarai rujukan yang perlu di teliti dan sebagainya, Hasil penyelidikan dan tesis pula merupakan hak cipta kepada universiti yang mengeluarkan ijazah. Maka, adalah tidak beretika jika pelajar membawa penyelidikan ke universiti yang lain. Harta intelek biasanya akan didaftarkan di bawah nama penyelia serta pelajar menjadi ahli sebagai hak bersama.

Perkara ini wajar difahami oleh setiap pelajar yang mendaftar. Maka tidak menjadi satu kesalahan etika jika penyelia meneruskan kajian dengan pelajar lain atau pasukan penyelidikan lain di bawah universiti yang sama. Idealnya, pelajar yang kini telah bergraduat akan juga menjadi ahli penyelidik bersama. Budaya kerja penyelidikan ini perlu difahami supaya setiap pihak jelas akan peranan masing-masing dan had batasan etika. Oleh kerana itu, di sesetengah universiti, mereka sangat menekankan pelajar atau pembantu penyelidik mengisi borang Akta Kerahsiaan apabila mula melaporkan diri.

Akhirnya, jika semua pihak faham maksud ilmu yang dimanfaatkan, tujuan mencari ilmu dikaitkan dengan mengenal Allah dan untuk mencapai redaNya, maka isu integriti akan terpelihara agar keberkatan diperolehi yang akan memberi pelbagai manfaat dan kebaikan insyaAllah. Jika materialisme yang menjadi perkara utama, kemungkinan akan berlaku konflik kerana tidak memahami hak masing-masing. Keberkatan hilang, permusuhan mungkin timbul. Sifat Rasulullah al-Amin wajar di realisasikan dalam diri sendiri sebaiknya serta mencontohi wibawa Nabi Yusof yang dinukilkan dalam al-Quran bermaksud :

Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”. (Surah Yusof : ayat 55)