Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian LeePensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Kini enam negeri termasuk Sabah bakal memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun dalam masa yang sama pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebahagian besar mukim di lapan daerah melibatkan negeri Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan telah memberi impak besar kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini, rentetan peningkatan kes pandemik Covid 19 di seluruh negara sememangnya mengundang kegusaran semua pihak terutama melibatkan tahap sosio ekonomi masyarakat.

Selain itu, kekangan untuk merentas sempadan negeri dan daerah bagi tujuan melakukan rutin harian amat terbatas, aktiviti riadah juga tidak dibenarkan malahan yang paling menyentuh hati sebilangan rakyat Malaysia adalah kekangan dan keterbatasan untuk menziarahi ayah dan ibu yang uzur di kampung halangan masing-masing. Tidak dinafikan masyarakat pada hari ini dilihat lebih bergantung kepada bantuan dan ihsan jiran tetangga untuk saling menjaga di antara satu sama lain. Ada di antara kita yang memerlukan bantuan tenaga, kewangan dan sokongan emosi dalam kalangan jiran tetangga untuk memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan dan mengelakkan berlakunya perkara yang merugikan.

Sebilangan besar kita pada ketika ini terpaksa berevolusi dan berubah dalam norma baharu yang memaksa kita menepati SOP yang digariskan. Ia membentuk dan memupuk tahap disiplin diri yang tinggi untuk saling menjaga antara satu sama lain yang dilihat bersesuaian dengan slogan #rakyatjagarakyat sinonim dengan keadaan saling bergantung antara masyarakat di saat saling memerlukan.

Menyokong semangat slogan ‘rakyat jaga rakyat’

Sifat mengambil berat terhadap individu yang berada di sekeliling termasuk jiran tetangga dan rakan sekerja adalah dituntut dalam agama. Setiap agama menganjurkan umat dan para pengikutnya supaya berbuat baik dengan jiran tanpa mengira latar belakang dan asal usul mereka. Misalnya, agama Islam adalah agama yang mementingkan hubungan persaudaraan dan sentiasa menganjurkan umatnya untuk sentiasa hidup bermasyarakat dan saling mengambil berat dalam kalangan jiran tetangga. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, “Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman”. Sahabat bertanya, “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab, “Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, di peringkat perlaksanaan pihak kerajaan, Dasar Komuniti Negara telah diluluskan oleh Kabinet pada 23 November 2018 yang memfokuskan kepada pembangunan komuniti secara inklusif demi mencapai kesejahteraan hidup. Ia bertujuan untuk mewujudkan jalinan kerjasama yang erat serta menggalakkan kehidupan harmoni dan selamat. Salah satu objektif Dasar Komuniti Negara ialah membentuk komuniti yang peka terhadap isu-isu komuniti, saling hormat menghormati, menyayangi dan bekerjasama antara jiran tetangga. Objektif ini selari dengan slogan yang kerap dilaungkan di media sosial dan media massa serta media elektronik iaitu ‘rakyat jaga rakyat’ dengan menggunakan #rakyatjagarakyat untuk menunjukkan kita saling mengambil berat terutama ketika berdepan dengan keadaan sukar.

Pada awalnya, slogan ‘kita jaga kita’ mendapat perhatian sebagai peringatan kepada setiap individu untuk menjaga diri sendiri, demi menjaga orang lain. Namun, hari ini ia lebih relevan untuk merujuk kepada dimensi yang lebih besar merujuk konteks rakyat pada istilah kita jaga kita secara bersama-sama sepertimana yang diwar-warkan pada fasa awal penularan pandemik COVID 19. Rakyat dilihat mula mengambil inisiatif sendiri dan tidak bergantung kepada pihak berwajib dalam usaha berdepan dengan cabaran dan dugaan hebat hari ini. Dalam konteks ini, rakyat akan memastikan bahawa mereka saling menjaga jaga diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling. Slogan ‘rakyat jaga rakyat’ merujuk kepada keadaan umum yang lebih relevan dan terbuka untuk diadaptasi pada hari ini melibatkan keperluan masyarakat saling menjaga masyarakat. Ia begitu sinonim dengan peranan jiran tetangga yang merupakan sebahagian entiti masyarakat yang berperanan untuk saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lain. Secara asasnya, jiran tetangga memainkan peranan penting untuk bersama-sama bangkit dan bersatu demi berdepan dengan cabaran COVID 19. Amalan Slogan rakyat jaga rakyat dalam kalangan jiran tetangga akan memastikan masyarakat saling mengambil berat, mengambil tahu dan bertanggungjawab untuk memastikan keadaan hidup harmoni dan sejahtera.  

Hidup berjiran ibarat ‘sakit sama mengaduh, luka sama mengiuk’

Umumnya jiran tetangga diibaratkan sebagai adik beradik, saudara terdekat walaupun tidak berasal dari darah daging dan genetik yang sama. Rasa kebersamaan melalui slogan rakyat jaga rakyat perlu dipupuk untuk mewujudkan sikap ambil peduli demi melahirkan rakyat prihatin dengan situasi masyarakat setempat dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan. Dengarkan khabar jiran tetangga di saat mereka memerlukan bantuan dan sokongan. Inisiatif ini akan dipupuk melalui semangat kejiranan yang tinggi bagi memastikan hak dan keperluan jiran tetangga mencukupi.

Perlaksanaan tindakan ‘rakyat jaga rakyat’ dalam hubungan kejiranan diibaratkan sebagai satu jalinan hubungan akrab umpama darah daging yang terjalin erat melalui amalan hidup saling memerlukan, saling berbuat baik, bertolak ansur dan tolong menolong di antara satu sama lain. Jiran adalah orang yang paling hampir dengan kita. Sebarang perkara atau insiden yang berlaku ke atas diri kita, keluarga malahan harta benda akan diketahui dan dimaklumkan kepada jiran tetangga terlebih dahulu. Jiran adalah insan terdekat untuk kita memohon pertolongan dan bantuan tatkala ditimpa musibah melibatkan kematian, kebakaran, kecurian dan kemalangan. Dalam hidup berjiran kita perlu memberi contoh dan teladan terbaik dan jangan sesekali membiarkan mereka bersendirian dan terbiar begitu sahaja tanpa kita berusaha mengeratkan perhubungan sedia ada.  Kita perlu bertimbang rasa dengan keadaan dan masyarakat sekeliling agar perlaksanaan kempen dan slogan ‘rakyat jaga rakyat’ mencapai matlamat dan objektifnya.

Dalam hidup berjiran mungkin ada sengketa dan salah faham berlaku tetapi ia ajar ditangani dengan baik. Kuburkan istilah “suka jaga tepi kain orang” atau “busybody” untuk bersama-sama kita melaksanakan semangat saling ‘rakyat jaga rakyat’ dalam kalangan jiran tetangga terutama semasa berdepan dengan virus pandemik COVID-19. Hidup berjiran dalam kalangan masyarakat negara ini ibarat ‘sakit sama mengaduh, luka sama mengiuk’ kerana kita akan bersama-sama ikut bertanggungjawab, susah senang kita rasai bersama.

Jiran Tetangga Membentuk Semangat Perpaduan dan Kasih Sayang

Di dalam tempoh pergerakan yang terhad ini, kebanyakan kita hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke tempat kerja bahkan tidak dapat pulang ke kampung namun jangan sesekali melupakan amanah kita terhadap jalinan dan hubungan baik dalam kalangan jiran tetangga. Keadaan dilihat beransur berubah berbanding sebelum ini, sikap individualistik seolah-olah menjadi pilihan terbaik sebilangan rakyat negara ini. Namun kini, kita lebih terbuka untuk berubah dan membuktikan bahawa kita saling memerlukan di antara satu sama lain. Melalui konsep ‘rakyat jaga rakyat’ masyarakat lebih terbuka untuk berkongsi rasa, perasaan, masalah dan keadaan semasa yang ditanggung untuk meringankan beban yang dipikul di bahu. Pemegang Amanah yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata amalan perpaduan boleh dicapai sekiranya semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Melihat kepada gagasan perpaduan rakyat membabitkan sejarah amat panjang dan berliku yang mana semangat perpaduan dipisahkan dari segi penempatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Namun, ear selepas Perang Dunia Kedua telah menyaksikan politik perpaduan begitu popular untuk diketengahkan. Dato Onn Jaafar umpamanya, cenderung mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat dan semangat itu terus dibawa hingga ke hari ini.

Hasilnya, semangat perpaduan itu telah menyemarakkan tanggungjawab dan peranan dalam kalangan jiran tetangga bersama-sama menghulurkan tangan dan bantuan dalam pelbagai bentuk melibatkan wang ringgit, tenaga, masa, nasihat dan motivasi agar yang terkesan mampu bangkit dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, menjalinkan hubungan yang baik dan semangat hidup berjiran bakal membentuk perpaduan dan semangat kejiranan yang utuh. Semangat kejiranan yang mantap dapat menjadi solusi terbaik bagi melawan impak dan implikasi akibat pandemik COVID-19 di samping menyebarkan kasih sayang dalam kalangan jiran tetangga.