Ahmad Zakuan Ahmad Azizi
Ahmad Zakuan Ahmad AziziFakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Muhammad Naqib Abdullah
Muhammad Naqib AbdullahFakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Pada zaman era ICT ini, ramai pengguna masa kini menceburi pelaburan melalui sistem online terutamanya dalam pelaburan forex. Apakah itu forex? Forex pada dasarnya merupakan gabungan dari dua kata dalam bahasa inggeris iaitu “foreign” dan “exchange”. Foreign bermakna “asing” atau “luar negeri” sedangkan Exchange bermakna sebagai “pertukaran”, dalam hal ini yang dimaksudkan adalah pertukaran mata wang. Dan ketika digabungkan forex atau foreign exchange dapat diertikan sebagai sebuah kegiatan pertukaran mata wang asing.

Maka apa hukum kegiatan pertukaran mata wang asing ini. Jual beli pertukaran matawang ini disebut sebagai Bay’ al-Sarf. Hukum melakukannya adalah harus berdasarkan hadis yang diriwayat oleh Ubadah bin Samit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‘Emas yang ditukar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, (hendaklah) dilakukan secara sama kualiti dan kuantitinya, dan secara tunai (tidak bertangguh). Jika (dilakukan transaksi) berbeza jenis-jenis tersebut, maka lakukanlah jual beli mengikut apa yang kamu kehendaki, dengan syarat dilakukan secara tunai.’ (Hadis riwayat Imam Muslim (no. 1587))

Penggunaan matawang kertas pada zaman ini mengambil tempat matawang emas dan perak kerana illahnya adalah sama yakni pada thamaniyyah (nilai matawang). Namun begitu, amatlah penting untuk dipastikan jual beli ini dilakukan berdasar syarat-syaratnya yang khusus. Jika tidak menepati syarat, maka transaksi itu menjadi batil dan terlibat dengan riba yang diharamkan.

Apakah solusi yang terbaik dalam menjalankan jual beli pertukaran matawang asing ini?

Pertama sekali, tiada unsur riba’ dalam jual beli. Ini kerana riba adalah salah satu dosa besar yang harus dielakkan oleh seorang Muslim yang jelas disebutkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah larangannya. Riba bermaksud sebarang kenaikan dalam barang tertentu (ribawi) dan penambahan hutang akibat penangguhan. Dalam surah al-Baqarah, ayat 278 – 279 direkodkan bahawa Allah dan Rasul memerangi riba. Firman Allah:

‘Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.’ (Al-baqarah: 278 – 279)

Kedua, mengikut syarat-syarat umum jual beli. Untuk solusi ini, kita mesti mengikut syarat-syarat umum jual beli yang telah ditetapkan oleh Islam. Allah berfirman:

‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.’ (An-nisa’: 29)

Dalam ayat ini, Allah berfirman bahawa kita tidak boleh mengambil harta benda orang lain dengan cara yang salah dan setiap urusan mestilah redha antara satu sama lain. Di samping itu, Allah juga menjelaskan bahawa mencari kekayaan dibenarkan dengan cara jual atau beli dengan redha antara satu sama lain tanpa memaksa. Ini kerana, jika dalam sesuatu perniagaan itu ada unsur memaksa membeli, penjualan itu tidak sah walaupun terdapat pembayaran atau penggantian.

Antara syarat-syarat jual beli ialah pertama, pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud). Kedua, harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad. Ketiga, item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli. Keempat, sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

 

Kesimpulannya, kita sebagai pengguna harus berwaspada dalam menceburi bidang pelaburan secara langsung ataupun tidak langsung. Kita juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya bagi menceburi sesuatu bidang kerana pada zaman ini terlalu banyak cabaran dan dugaan. Oleh itu, kita perlu tahu sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum kita membuat sesuatu keputusan kerana pepatah ada mengatakan ‘sudah terhantuk baru terngadah’.